Oleh: Anis Zulaikha Md Asri
Gopeng, 4 MEI 2024: Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) Sidang 2023/2024, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Program Tautan Permata Kasih yang bertempat di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim/ Miskin Dahikmah Gopeng, Perak pada Sabtu lalu.
Program yang bermanfaat ini diadakan adalah untuk menghargai anak-anak di rumah kebajikan yang rata-rata mereka adalah daripada anak yatim, asnaf, miskin dan kurang berkemampuan. Program ini juga telah berkongsi pelbagai pendedahan tentang pengetahuan sains dan teknologi kepada anak-anak di pertubuhan ini di samping dapat meningkatkan motivasi mereka dalam memperjuangkan pendidikan serta menetapkan kerjaya mereka setelah tamat pengajian menengah nanti. Program Tautan Permata Kasih ini adalah bukan sekadar memberi penghayatan kepada peserta malah dapat mengeratkan
hubungan dan ukhwah sesama saudara seagama.
Program Tautan Permata Kasih ini dihadiri dan dirasmikan oleh Penasihat Program iaitu Norrulkamari Daud. Menerusi ucapan beliau, “program sebegini dapat lagi diteruskan pada masa akan datang kerana beliau melihat program ini adalah satu titik permulaan yang amat baik bagi pihak UPSI untuk terus menjalin kolaborasi yang lebih erat melalui aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan dengan pihak pertubuhan kebajikan itu. Semua yang terlibat dalam program ini adalah pembina generasi cemerlang, pembentuk jati diri dan menjadi suri teladan kepada masyarakat. Semoga program ini juga dapat melahirkan mahasiswa dan mahasisiwi yang terbaik dari yang terbaik,” katanya.
Majlis penutup juga turut dihadiri oleh wakil pengurusan Pertubuhan Anak Yatim/Miskin Dahikmah, Muhammad Hafizal Hussain dalam menjayakan program ini. Lazimnya, program Tautan Permata Kasih ini mencakupi slot motivasi, aktiviti explorace yang berkonsepkan Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) serta acara rewang menyediakan juadah tengahari bersama-sama dengan pihak pertubuhan kebajikan itu.
Selaku Pengarah Program merangkap Exco Latihan Pembangunan Sahsiah, Anwarul Syahmi Ismail berkata “Program yang dijalankan ini mampu memberikan impak dalam diri mahasiswa sendiri di samping dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam diri anak anak seperti amanah, tolong-menolong dan kasih sayang. Jika ditanya mengapa saya ingin melaksanakan program ini, jawapan saya mudah. Saya mahu berkongsi kasih sayang dan bersama-sama membawa kegembiraan khususnya kepada anak anak yatim di sini. Justeru, kami mengharapkan program ini dapat memberikan sedikit sebanyak kegembiraan dan
kebahagiaan kepada semua warga di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim/Miskin Dahikmah ini.”
Seusai perasmian, Program Tautan Permata Kasih diteruskan lagi dengan penyampaian sijil penghargaan, plak dan sumbangan berbentuk wang tunai yang disampaikan oleh penasihat program kepada pertubuhan Kebajikan Dahikmah, Gopeng bagi membantu sedikit sebanyak khususnya pendidikan anak-anak di situ. Program berakhir dengan sesi fotografi semua penghuni pertubuhan kebajikan Dahikmah dan juga warga UPSI yang hadir. Tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program kemasyarakatan ini.