Disediakan Oleh: Stephanie Amy
Tanjong Malim: Hujung minggu merupakan ‘ruang masa’ yang paling dinanti-nantikan oleh semua untuk melakukan pelbagai aktiviti yang bermanfaat.
Bagi mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) khususnya yang sudah mengikuti kuliah selama lima hari, hari sabtu dan ahad adalah waktu santai mereka.
Sudah menjadi tradisi di Kolej Ungku Omar (KUO) untuk mengadakan pelbagai aktiviti bagi melahirkan mahasiswa yang produktif.
Program KUO SATU HATI BERAKSI yang berlangsung pada 5 Mei 2024, Sabtu dianjurkan oleh Exco Penginapan dan Kemasyarakatan, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar merupakan salah satu inisiatif tepat bagi mengisi masa lapang yang ada bagi penghuni KUO.
KUO SATU HATI BERAKSI diadakan bertujuan bagi memberi ruang untuk beramah mesra sesama penghuni Kolej Ungku Omar bersama felo-felo dan pentadbiran kolej serta mewujudkan kejiwaan nilai kekeluargaan dalam diri mereka. Bak kata pepatah Melayu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Program ini merangkumi beberapa pengisian mesra bersama penghuni kolej seperti pertandingan rumah terbersih, senamrobik, memanah, futsal, gotong-royong dan persembahan Horror Night Show.
Penolong Pegawai Tadbir KUO, En. Muhammad Hafiz Abd Manap berkata “Kepelbagaian aktiviti dalam KUO SATU HATI BERAKSI memberi impak yang positif kepada seluruh warga KUO kerana ia secara tidak langsung dapat menjalinkan gandingan bahu yang terbaik terhadap semua pihak yang terlibat.
Belum lagi kita lihat dari perspektif penghuni yang begitu kreatif dan berseni orang-orangnya dalam menceriakan rumah kediaman mereka. Malah ada juga juri-juri yang disambut dengan gelagat yang mencuit hati penghuni setelah sahaja pintu rumah dibuka. Sungguh mengambil hati.”
Salah seorang penghuni KUO, Hannah Ainsley Peter menyatakan keterujaan beliau mengikuti aktiviti-aktiviti yang disediakan sepanjang program ini berlansung.
“KUO SATU HATI BERAKSI sedikit sebanyak memberi ruang kepada penghuni KUO dapat mengisi masa lapang mereka sebelum menjelang mingguan kuliah
Bagi saya, aktiviti begini seharusnya lebih kerap dijalankan bagi memeriahkan suasana kolej justeru mengeratkan lagi hubungan diantara penghuni KUO dan pihak pengurusan kolej iaitu Pentadbiran, Felo-felo kediaman dan Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar” katanya.
Walaupun keletihan, mereka berasa gembira kerana dapat meluangkan masa bersama-sama. Masa susah untuk dikejar, kenangan senang dikenang.