Oleh: Firdaus Ardika dan Dayang Syakila

Tanjong Malim: Lawatan ke luar merupakan aktiviti yang sangat menarik minat pelajar terutamanya bagi mereka yang ingin menenangkan fikiran dan merehatkan minda daripada belajar. Sehubungan dengan itu, Exco Ekonomi dan Keusahawanan, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar dengan kolaborasi pihak Malaysian Agricultural Research and Development Institute (MARDI) telah menjayakan Program Kuocation: Living The Dream, One Vacation At A Time yang bertempat di Cameron Highlands, Pahang pada 4 Mei 2024 bagi memberi pengalaman yang bermakna kepada mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Lawatan yang disertai seramai 62 orang mahasiswa UPSI ini merupakan salah satu usaha untuk mendedahkan peserta dengan tempat yang menarik di Malaysia sekaligus dapat meningkatkan ekonomi penduduk tempatan. Sepanjang lawatan berlangsung, peserta telah dibawa melawat ke Ladang Teh Boh, The Sheep Sanctuary, Agro Technology Park MARDI Cameron Highlands dan Abang Strawberry.

Peserta telah merasai sendiri pengalaman berada di ladang teh dan menyaksikan keindahan ladang teh boh yang sangat terkenal di Malaysia. Mereka juga tidak melepaskan peluang untuk memberi makan biri-biri dan Alpaca ketika berada di The Sheep Sanctuary. Bukan itu sahaja, peserta juga telah mengabadikan kenangan mereka dengan sesi fotografi di tempat-tempat yang menarik sekitar MARDI. 

Sebagai kenang-kenangan peserta telah membeli beberapa buah tangan seperti strawberi dan teh untuk dibawa pulang. Mereka juga telah berkesempatan untuk merasai makanan-makanan yang diperbuat daripada strawberi yang tidak ada pada tempat yang lain.

“Program Kuocation ini telah memberi pendedahan dan peluang kepada penghuni untuk melawat Cameron Highlands dengan lebih dekat terutama kepada pelajar antarabangsa. Program sebegini dapat memberikan peluang kepada mereka untuk mengenali Cameron Highlands sambil menikmati keindahan alam.” Kata Puan Siti Norhuda Md Ali selaku penasihat program.

Lorna Emma Jones, pelajar asal Hungary berkata “Cameron Highlands merupakan salah satu bucket list saya ketika berada di Malaysia. Saya berasa sungguh berterima kasih dengan peluang yang diberikan kerana melalui program ini saya dapat merealisasikan impian saya. Kuocation merupakan program yang sangat menarik kerana saya sendiri dapat merasai pengalaman di ladang teh dengan cuacanya yang lebih sejuk berbanding di Tanjung Malim.

Saya juga tertarik dengan biri-biri di The Sheep Sanctuary kerana dibiarkan bebas dan boleh disentuh oleh sesiapa sahaja. Saya juga merasakan ini sebuah program yang menenangkan dan dapat mengurangkan stres saya di kampus.”

Dengan adanya program sebegini pada masa yang akan datang, secara tidak langsung dapat memberi input baru kepada mahasiswa dan masyarakat luar tentang keindahan flora dan fauna di Malaysia. Tambahan pula, program seperti ini juga dapat menarik pelancong asing untuk datang ke Malaysia sekaligus dapat meningkatkan ekopelancongan di negara kita.