Oleh: Amni Batrisyia, Jackline, Asyraf Izzuan & Nurin
Tanjong Malim- Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (KAB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sidang 2023/2024 telah mengadakan Program ‘Glorious Beauty with You’ bertempat di Dewan Seminar Aminuddin Baki. Program ini telah berlangsung pada 28 April lalu dan ditaja khas oleh Syarikat Maez HQ dan FasFaouzi Beauty HQ.
Program ‘Glorious Beauty with You’ ini mendapat sambutan yang cukup baik dengan penyertaan seramai 46 orang dalam kalangan mahasiswa UPSI. Objektif program ini dilaksanakan adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta akan pengenalan skim warna, alatan solekan dan jenis berus. Selain itu, program ini juga dapat memberi pendedahan kepada peserta berkenaan asas-asas solekan sekali gus mengajarkan teknik solekan yang betul. Melalui program ini juga dapat membantu peserta mengetahui dengan lebih terperinci tentang kosmetik yang sesuai dengan wajah masing-masing.
Program yang bertemakan ‘tatarias’ ini telah diketuai oleh Exco Perpaduan dan Integrasi iaitu saudari Fatin Najihah. Sepanjang sesi praktikal berlangsung kesemua peserta begitu fokus terhadap penerangan yang telah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Pengasas FasFaouzi Beauty HQ, Fazlina. Menurut beliau, program sebegini sangat wajar dianjurkan supaya dapat meningkatkan keterampilan diri.
Selain sesi praktikal, terdapat juga satu slot yang diketuai oleh pihak Maez HQ yakni penceramah jemputan, iaitu Eima Safuan menunjukkan demonstrasi kepada peserta supaya teknik solekan yang disampaikan dapat diaplikasikan dengan betul.
Program ini telah dihadiri oleh pihak pentadbiran dan barisan felo. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Muhammad Fawiz Bakri. Beliau menyatakan bahawa program ini telah memberi satu impak yang positif terhadap mahasiswi, iaitu mereka boleh tampil dengan lebih yakin dan berketerampilan lebih-lebih lagi bila berada di alam kerjaya kelak.
Diharapkan dari program ini semua peserta dapat mengaplikasikan teknik solekan yang betul sekali gus membantu mahasiswi untuk tampil dengan lebih yakin dan menarik. Ribuan terima kasih dirakamkan kepada pihak FasFaozi Beauty HQ dan Maez HQ di atas kesudian menaja dan menjadi rakan kerjasama bagi program ini.