Oleh: Aida Najwa Zahidan & Noor Syaibah Shabuddin

Tanjong Malim- Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) merupakan salah satu badan kepimpinan murid yang ada sama ada di peringkat rendah (Bongsu) mahupun menengah (Sulong). PRS yang bernaung dibawah unit bimbingan dan kaunseling di setiap sekolah memiliki kelebihan yang tersendiri di mana setiap ahlinya menggalas tugas yang istimewa dalam menjadi ikon atau role model kepada rakan-rakan yang lain. Oleh yang demikian, penilaian yang bersesuaian serta perlu dilaksanakan bagi melahirkan PRS yang berwibawa dan mempunyai jati diri yang kukuh dalam menggalas tugas sebagai pembimbing rakan sebaya.

Pada 23 hingga 25 April lalu, Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN) dengan kerjasama Pusat Kaunseling dan Pembimbing Rakan Siswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan Kem Pembimbing Rakan Sebaya kategori Bongsu peringkat Negeri Perak di UPSI. Kem ini telah dihadiri seramai 120 orang peserta daripada sekolah-sekolah sekitar negeri Perak.

Program ini bertujuan memberi latihan penuh kepada semua peserta bagi persediaan untuk bertanding ke peringkat kebangsaan melalui penyampaian modul dan slot oleh panel guru terpilih. Pemilihan yang dilaksanakan berdasarkan kepada cara murid mempamerkan keperibadian dan daya kepimpinan mereka semasa kem berlangsung. Murid yang menunjukkan tahap pencapaian yang terbaik akan dipilih untuk mewakili negeri Perak ke peringkat kebangsaan yang bakal diadakan kelak.

Sekitar suasana aktiviti Malam Kebudayaan yang dijayakan oleh para peserta

Selain itu, program ini juga akan melatih para peserta untuk memiliki jati diri, sahsiah dan integriti yang tinggi sebagai agen pengubah dalam PRS sekolah untuk membantu rakan sebaya yang memerlukan bimbingan. Jati diri yang kukuh perlu dipupuk sejak diperingkat rendah ekoran cadaran yang dihadapi oleh mereka kini sangat mencabar. Sebagai PRS, mereka perlu memainkan peranan yang penting dalam memberikan contoh yang terbaik kepada rakan-rakan yang lain. Setiap aktiviti yang dilaksanakan semasa kem berperanan melatih para peserta untuk setiasa bersedia dan peka terhadap nilai – nilai sebagai seorang pembimbing dan mampu untuk memberi sokongan kepada rakan yang memerlukan.

Semasa kem ini berlangsung, para peserta yang terlibat telah dibawa untuk melawat sekitar kawasan UPSI. Hal ini bagi memberi pendedahan kepada mereka tentang kehidupan di alam kampus atau universiti melalui slot lawatan ke fasiliti universiti supaya peserta lebih bersemangat untuk terus belajar hingga ke peringkat tertinggi. Gambaran awal amat penting untuk didedahkan kepada murid sejak diperingkat rendah. Minat dan semangat untuk terus menuntut ilmu perlu digarap dan ditutup sejak kecil bagi hasil yang berpanjangan. Program pada kali ini turut mendapat kerjasama daripada pihak Bahagian Pengangkutan UPSI bagi melancarkan perjalanan program yang dirancang.

Program Kem PRS Bongsu ini memberikan impak besar kepada para peserta dan khususnya peserta yang akan mewakili Perak ke Peringkat Negeri kelak. Modul dan kemahiran yang dipelajari sepanjang kem akan memberi manfaat kepada peserta untuk terus menjadi penghubung kepada rakan sebaya mereka di sekolah dalam mendepani isu sosial dan akademik di sekolah. Selain itu, kem ini secara tidak langsung meningkatkan jati diri dan sahsiah terpuji kerana penilaian secara tidak langsung dijalankan oleh guru penilai sepanjang kem dijalankan. Hal ini sekaligus membentuk diri peserta untuk terus bersahsiah baik di mana sahaja mereka berada. Peserta juga dilatih untuk berhadapan dan berinteraksi dengan komuniti baharu memandangkan hanya seorang sahaja wakil dari sekolah yang terlibat dalam kem ini. Dan ini mendorong peserta untuk bersosial dan bertukar-tukar pandangan dan idea dengan rakan baharu.

Majlis penutupan telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan (Bahagian Pembangunan Murid), Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar. Turut hadir, Ketua Bahagian Pengangkutan, UPSI Azlan Al-Hafiz Mazlan. Diharapkan agar program-program seperti ini dapat dijalankan diperingkat yang lebih tinggi agar memberi pengetahuan dalam membantu mereka yang memerlukan.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)