Oleh: Annatasha Elina Lucas
5 Mei 2024

Tanjong Malim: Memanah, kegiatan atau sukan yang telah ada sejak zaman prasejarah, tidak hanya merupakan olahraga tetapi juga merupakan seni dan keterampilan yang memerlukan fokus, ketepatan dan kekuatan.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Exco Sukan dan Rekreasi Kolej Ungku Omar (KUO) telah mengadakan program Archery Open Day di Tapak Protani KUO yang berlangsung selama 1 hari. Program ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pelajar UPSI khususnya warga KUO.

Melalui program ini, pelajar dapat mengasah bakat dalam sukan memanah dan menambah pengetahuan serta membina pengalaman dalam sukan memanah. Pelajar yang tidak mempunyai pengalaman dalam memanah dibimbing dengan nasihat dan tunjuk ajar daripada AJK yang terlibat.

Encik Hafiz Abd Manap, Penolong Pegawai Tadbir KUO berkata “Program ini kelihatan mudah, namun ianya sedikit sukar bagi peserta yang baru untuk menyasarkan busur pada sasaran. Apabila sukan memanah ini dibuka ianya dapat memberi peluang kepada peserta untuk mencuba dan hal ini secara tidak langsung telah mencapai sasaran untuk merapatkan ukhwah penghuni sambil beriadah.”

“Sukan memanah bukanlah aktiviti atau sukan yang mudah dan senang seperti yang dilihat. Ianya memerlukan fokus, teliti, dan kesabaran yang tinggi untuk seseorang berjaya mengenakan sasaran ” kata pengarah program Archery Open Day, Azzizudin Ab. Aziz.

Secara keseluruhan, sukan memanah bukan sahaja menawarkan manfaat fizikal tetapi juga memberikan banyak kebaikan dalam cara bermain. Aktiviti memerlukan disiplin dah kesabaran. Sifat-sifat ini boleh menjadi pengaruh secara tidak langsung dalam interaksi sosial, lebih sabar dan bijak menangani  sesuatu konfliks.