Oleh: Alia Maisarah
29 APRIL 2024,
Tanjong Malim: Sudah menjadi satu tradisi dan adat yang biasa setiap awal musim kemasukan penghuni ke Kolej Ungku Omar (KUO) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), akan diadakan satu program yang berkonsepkan perjumpaan atau perkenalan penghuni bersama pentadbiran, barisan felo-felo kediaman dan Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar anjuran Exco Penginapan dan Kemasyarakatan. Program ini selama dua hari ini berlansung pada 29 April 2024 dan 30 April 2024.
Program Meet and Greet KUO ini dijalankan secara berperingkat pada minggu awal kemasukan penghuni ke Kolej Ungku Omar untuk memberi pendedahan semula kepada penghuni tentang aspek-aspek yang utama dan penting untuk diketahui oleh setiap penghuni sepanjang mereka menetap di kolej.
“Program ini juga memberi pendedahan dan peringatan semula kepada penghuni Kolej Ungku Omar tentang garis panduan, peraturan-peraturan kolej, memperkenalkan barisan pentadbiran, felo-felo kediaman, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar dan ketua aras bagi setiap aras yang ada di blok kolej. Pendedahan ini penting untuk diambil tahu oleh semua penghuni sepanjang mereka menetap di kolej. ” Kata Penolong Pegawai Tadbir KUO, En Hafiz Abd Manap.
Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, begitulah perumpamaan yang sesuai untuk digambarkan pada petikan kata-kata Pengetua KUO, Profesor Madya Dr. Mohd Nizam Hj. Nasrifan.
“Peraturan-peraturan kolej merupakan satu ketetapan yang telah ditetapkan oleh pihak kolej bagi membentuk satu kawalan yang dapat meningkatkan keharmonian dan kesejahteraan kepada semua penghuni sepanjang berada dan menetap di Kolej Ungku Omar.
Selain dari kehamornian yang wujud di dalam kalangan penghuni, peraturan-peraturan ini juga nanti akan membentuk keterampilan dalam diri pelajar untuk lebih berdisiplin dan patuh kepada setiap peraturan yang ditetapkan. Justeru itu, sifat-sifat ini sudah tentu dapat dipupuk melalui zaman pembelajaran di kampus lagi.” tambah beliau
Dengan adanya program seperti ini, diharapkan dapat memberi pengetahuan dan peringatan kepada setiap penghuni tentang peraturan-peraturan sepanjang berada di kolej khususnya mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris.