Oleh: Muhammad Syahmi Wazini
23 Mei 2024
Tanjong Malim: Persatuan Mahasiswa Sejarah (PERMAS) di dalam Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dengan kerjasama pihak Hospital Slim River, telah mengadakan ‘Program Derma Darah 3P’. Program tersebut berlangsung pada 9 Mei 2024, bermula jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang, di Bilik Interaksi FSK (Bangunan Malim Sarjana).
Program ini juga merupakan hasil kolaborasi PERMAS dengan Persatuan Pengajian Malaysia (PPMAS) dan Kelab Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM). Program ini membuka peluang kepada orang ramai untuk menderma darah dengan fasiliti yang disediakan oleh Unit Tabung Darah Hospital Slim River, yang datang sebagai staf fasiliti Derma Darah.
Tujuan utama program ini adalah untuk menggalakkan warga UPSI memberikan sumbangan kebajikan dengan menjadi penderma dan menjadikannya sebagai satu amalan dalam diri warga UPSI. Program ini bertujuan mengatasi ketakutan orang ramai untuk mencuba menderma darah atas pelbagai faktor, serta memberikan mereka ruang yang terbaik untuk mencuba. Selain itu, program ini juga memupuk nilai prihatin, tanggungjawab, dan empati dalam kalangan mahasiswa/i terhadap amalan kebajikan. Pendedahan ini penting sebagai cara melahirkan sifat-sifat ini dalam hati dan jiwa mahasiswa/i.
Aktiviti utama yang dijalankan dalam program ini termasuk penyediaan fasiliti derma darah dan suatu sudut ilmu di mana ketiga-tiga persatuan yang terlibat mengongsikan ilmu-ilmu berkenaan bidang masing-masing. Sudut ilmu ini memberikan maklumat berharga dan menambah pengetahuan mahasiswa/i tentang kepentingan amalan kebajikan dan kesihatan.
Program ini diakhiri dengan sesi pemberian plak penghargaan kepada pihak Hospital Slim River. Pengarah Program Derma Darah 3P bersama staf dan ahli jawatankuasa lain yang terlibat telah menyampaikan plak tersebut kepada Encik Ajmal, selaku ketua Unit Tabung Derma Darah Hospital Slim River. Sesi ini menandakan penghargaan dan terima kasih atas kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh Hospital Slim River dalam menjayakan program ini.
Program Derma Darah 3P berjaya mencapai objektifnya dalam menggalakkan mahasiswa/i untuk menderma darah dan memupuk nilai-nilai murni dalam diri mereka. Program ini juga membuktikan bahawa kolaborasi antara persatuan mahasiswa dan pihak hospital dapat memberikan impak positif kepada masyarakat dan kesihatan awam.