Oleh: Fajrul Solehien
22 Mei 2024
Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini menganjurkan program bertajuk “From The HeART of GAZA by Akram,” menampilkan pembentangan oleh Akram Alloh, pelajar doktor falsafah (PhD) di Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK) UPSI. Program ini perantarakan oleh moderator, Profesor Madya Dr. Bahbibi Rahmatullah.
Program ini merangkumi pameran seni hasil tangan warga UPSI sebagai tanda solidariti kepada perjuangan rakyat Palestin. Pameran tersebut diikuti dengan pembentangan suasana di Gaza oleh Saudara Akram Alloh, yang baru sahaja tiba di Malaysia setelah terperangkap selama beberapa bulan di Gaza bersama keluarganya.
Akram Alloh, yang bertugas sebagai wartawan dan jurugambar sejak 2004, kini sedang menjalankan PhD dalam bidang Media Baharu di UPSI. Pada awalnya, beliau berhasrat menghentikan pengajian apabila lebih awal apabila Tragedi Oktober 17 berlaku. Namun, hasil bantuan dan bimbingan pelbagai pihak, terutama Dekan FSKIK, Prof. Madya Ts. Dr. Muhammad Zaffwan Idris dan penyelia beliau, Profesor Madya Dr. Bahbibi Rahmatullah, pengajian beliau dapat diteruskan.
Dalam pembentangan beliau, Akram menyatakan kebimbangan mengenai naratif yang disampaikan tentang Gaza. “Terdapat terlalu banyak kisah atau cerita yang boleh saya kongsikan, akan tetapi satu perkara yang menjadi kerisauan saya adalah apabila terlalu banyak cerita yang dikongsikan, cerita itu hanya jadi satu cerita. Bukan lagi satu tragedi yang memerlukan tindakan akibat manusia sudah lali dengan keperitan dan perjuangan rakyat Palestin. Kisah hanya menjadi nombor dalam graf laporan” ujar beliau.
Akram juga memberikan perkembangan terkini mengenai serangan rejim Zionis di Perentasan Rafah, satu-satunya jalan keluar bagi penduduk Gaza. Beliau berjaya keluar dari Gaza beberapa hari sebelum serangan di Rafah bermula kerana kecederaan yang dialami apabila serangan rejim Zionis menghancurkan rumah keluarganya di Gaza. Akram disenarai pendek untuk menerima rawatan di Mesir dan menunggu giliran selama lebih empat bulan sebelum dirawat pada 14 April 2024. Setelah pulih, beliau memutuskan untuk ke Malaysia apabila tarikh viva PhD beliau sudah ditetapkan.
Beliau berkongsi detik-detik rumah beliau diletupkan, suasana peperangan, dan gambar-gambar menyayat hati keluarga dan jiran tetangga di Gaza. Akram juga menjawab soalan-soalan daripada tetamu yang hadir mengenai suasana dan keadaan beliau semasa dirawat.
Beliau mengharapkan sokongan berterusan rakyat Malaysia dan masyarakat dunia terhadap nasib rakyat Palestin bagi mendapatkan sebuah negara yang berdaulat dan menamatkan kekejaman rejim Zionis. Program ini bukan sahaja menjadi platform untuk menceritakan kisah perjuangan rakyat Palestin tetapi juga mengingatkan masyarakat tentang pentingnya tindakan dan solidariti antarabangsa.