Oleh: ChM Dr. Yuhanis Mhd Bakri, Muhammad Faheem Mohd Dahlan, Norhasrina Idris
23 Mei 2024

Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Pembangunan Akademik dan Bahagian Sumber Manusia (BSM) telah mengadakan Jerayawara Program Orientasi Sekolah (POS) bagi pensyarah baharu UPSI di Bilik Mesyuarat Utama, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), UPSI.

Jerayawara yang telah dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UPSI, Prof. Dr. Abdul Rahim Razalli, telah dihadiri oleh Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, En. Hairudin Saman; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pengurusan Sekolah), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Muallim, En. Saipol Bahrim Sulaiman; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pengurusan Sekolah), PPD Hulu Selangor, Pn. Saemah Mat Sahir; Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Unit Hal Ehwal Murid), PPD Kinta Utara, En. Nik Mohd Ashraf Raja Berahim serta pengetua dan wakil pengetua bagi 17 buah sekolah terlibat.

Ini merupakan tahun kedua bagi program POS yang mana suatu program penempatan di sekolah selama dua bulan yang merupakan satu komponen dalam Kursus Pensijilan Pengajaran dan Pembelajaran Pensyarah Baharu UPSI.

Manakala, ini merupakan tahun pertama keterlibatan sekolah-sekolah di PPD Hulu Selangor. Semua pensyarah baharu UPSI perlu melengkapkan kursus ini sebagai salah satu syarat pengesahan jawatan kakitangan akademik.

Program POS ialah suatu program bagi pensyarah baharu melengkapkan pengetahuan dan kemahiran pendidikan di peringkat sekolah. Melalui program ini, pensyarah dapat memahami masyarakat guru, tingkah laku pelajar, suasana dan pengurusan sekolah, bilik darjah dan lain-lain dalam konteks pengajaran dan pembelajaran menerusi pemerhatian, interaksi dan refleksi.

Selain itu, pensyarah dapat mengenali dengan lebih dekat peranan seorang guru dalam pengurusan, pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Program ini diharapkan dapat memberi peluang kepada pensyarah baharu untuk mengenal dan menimba pengalaman dengan persekitaran dan budaya di sekolah dan seterusnya memperkasa pendidikan generasi masa depan.

Seramai 26 pensyarah baharu akan terlibat mengikuti POS dengan 11 pensyarah ditempatkan di sekolah-sekolah PPD Muallim (10 orang) dan PPD Kinta Utara (seorang) bagi JPN Perak dan sekolah-sekolah PPD Hulu Selangor (15 orang) bagi JPN Selangor. Pensyarah baharu akan berada di sekolah mulai 29 Julai hingga 29 September 2024.

Dengan itu, diharapkan kerjasama erat antara UPSI sebagai Universiti berfokus pendidikan bersama pihak JPN, PPD dan sekolah-sekolah kekal utuh dan akrab serta sama-sama berganding bahu dalam memastikan kecemerlangan pendidikan negara.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)