Oleh: Dr Siti Shuhaida Shukor, Nurul Aida Mohamed Adam
27 Mei 2024
Kuala Lumpur: Seramai 30 pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyertai Lawatan Ke Sekolah Sri UCSI Kuala Lumpur. Pihak Sri UCSI Kuala Lumpur menyambut baik kedatangan delegasi UPSI dan telah membawa rombongan melawat beberapa kemudahan utama yang ditawarkan oleh sekolah tersebut.
Antara lokasi yang dilawati termasuklah bilik muzik yang lengkap dengan peralatan moden, kolam renang, kawasan legar pelajar, dewan serbaguna, gelanggang sukan serbaguna, dan makmal robotik yang canggih.
Delegasi juga dibawa ke bilik Edtech yang menempatkan bilik rakaman audio dan video, bilik cetakan 3D, layar hijau serta ruang ESport yang baharu saja dilancarkan pada bulan Februari tahun ini.
Pengetua Sekolah Sri UCSI KL, Encik Wong Kin Tung, berkongsi taklimat berkenaan kurikulum yang digunakan serta peluang pekerjaan yang ada. Ekosistem yang efisyen dan inovatif di Sri UCSI KL, melalui transformasi sistem maklumat pelajar serta infrastruktur yang lengkap dengan kemudahan yang menyokong perkembangan karakter pelajar merupakan puncak lawatan kali ini.
Sri UCSI KL menawarkan Kurikulum Kebangsaan (KSSR dan KSSM) serta Kurikulum Cambridge Antarabangsa di mana mereka mengajar Bahasa Inggeris, Matematik, dan Sains Cambridge. Pada tahap Standard 6 dan Tingkatan 3, pelajar akan menduduki peperiksaan Cambridge Checkpoint yang ditetapkan oleh Cambridge Assessment International Examinations (CAIE). Semasa Sekolah Menengah Atas (Tingkatan 4-5), pelajar terpilih akan berpeluang mengambil kedua-dua peperiksaan IGCSE Cambridge dan SPM.
Justeru, kepesatan teknologi, fasiliti dan kurikulum di Sri UCSI KL wajar dicontohi oleh semua pihak dalam menyokong kemenjadian pelajar masa kini dalam menghadapi cabaran dunia masa hadapan.
Melalui lawatan ini, diharap delegasi pelajar UPSI terutamanya dapat melihat potensi kerjaya di sekolah swasta dan antarabangsa yang menerapkan budaya kemenjadian pelajar disamping penggunaan teknologi yang terkini dalam arus pemodenan abad ke-21. Lebih banyak kolaborasi diharapkan dapat dilaksanakan bersama dalam usaha menggembleng tenaga untuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara kita.