Gambar: Nehasni Thamodaran
Tanjong Malim, 25 Mei – Kelab Kebudayaan Bharathanatyam, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan Program Mutthamizh Vizha Siri 2 pada 25 Mei 2024 di Dewan Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Program ini merangkumi tiga kategori pertandingan yang dipertandingkan iaitu Kategori SJKT (Deklamasi Sajak), Kategori SMK (Penulisan Kreatif) dan Kategori IPTA (Persidangan Kebangsaan).
Bagi Kategori SJKT dan SMK, pertandingan telah diadakan di atas talian bagi peserta yang berasal dari negeri Johor, Selangor, Kedah dan Perak. Bagi peserta dari sekolah yang terletak di daerah Muallim, penilaiannya telah diadakan di sekolah masing-masing dengan kerjasama pengetua sekolah dan guru-gurunya. Seramai 68 pelajar SJKT dan SMK telah bertanding dalam kategori tersebut yang berjaya menonjolkan bakat mereka dalam kemahiran menguasai bahasa Melayu pada tahap yang amat cemerlang. Dari segi penyampaian sajak dan penulisan karangan telah disampaikan dengan baik oleh para peserta.
Perasmian pembukaan program ini telah disempurnakan oleh Professor Madya Dr. Sethuprakhash, Penasihat Kelab Kebudayaan Bharathanatyam UPSI dan telah memberikan kata-kata semangat kepada para peserta supaya bertanding secara pro-aktif dan produktif dalam ucapan perasmian beliau. Persidangan Kebangsaan IPTA ini telah disertai oleh berapa universiti awam iaitu Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Pembentangkan usul dan cadangan bagi masalah yang terdapat dalam masyarakat India di Malaysia berlangsung berdasarkan kertas cadangan yang telah dihantar sebulan sebelum tarikh program ini. Tiga sesi persidangan telah diadakan mengikut pembahagian kluster yang dicadangkan iaitu Kluster Akademik & Sukan, Kluster Kewangan & Kebajikan, Kluster Pembangunan Sahsiah & Kerohanian. Pelbagai isu-isu semasa yang telah dibincangkan dan dikongsikan oleh para pembentang yang memberikan pendedahan yang jelas kepada para hadirin.
Majlis penyampaian hadiah diserikan dengan kehadiran Encik Sasigaran Moneyam, wakil Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UPSI dan Encik Kaliyapan Rajakumaran, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Pelajar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Majlis perasmian penutupan majlis ini telah dirasmikan oleh Encik Sasigaran Moneyam bersama dengan tetamu kehormat.
Majlis penutupan ini bukan sahaja mengumumkan pemenang bagi kategori yang dipertandingkan tetapi juga telah mempersembahkan 10 jenis tarian tradisional yang khas dibawakan oleh Akademik Kesenian Sebastiar Ipoh yang turut memeriahkan majlis dan menjadi tular dalam kalangan mahasiswa India.
Penyampaian memorandum telah disampaikan kepada Encik Kaliyapan Rajakumaran Wakil Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) oleh Saudara Uthayavellan Lingam, Pengarah Program yang merangkumi semua usul dan cadangan yang telah dibahaskan dalam Dewan Persidangan tersebut dengan harapan cadangan-cadangan tersebut dapat dilaksanakan oleh pihak yang berkuasa. Diharapkan bahawa program ini telah bermanfaat kepada semua dan memberikan impak yang positif demi kejayaan bersama.