Oleh: Nur Balqis Binti Kamaruzaman
4 Jun 2024
Tanjong Malim: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sidang 2023/2024 dengan kerjasama Jalinan Anak Sarawak (JASA) dan Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS) telah menganjurkan Program Borneo Fun Run bagi meraikan sambutan Gawai Kaamatan peringkat universiti.
Program ini bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan dan riadah dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat setempat mendapat sambutan yang baik dengan penyertaan seramai 200 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa UPSI dan warga daerah Muallim.
Program ini turut dirasmikan dan upacara flag off pelepasan larian oleh Profesor Madya Dr. Mohd Izwan Shahril, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI mewakili Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi Universiti. Beliau menekankan kepentingan aktiviti seperti ini dalam memperkukuhkan hubungan antara mahasiswa dari pelbagai latar belakang dan budaya dalam ucapan perasmiannya.
Pengarah program, Nur Balqis menyatakan, “Program ini bukan sahaja meraikan perayaan tradisional Gawai dan Kaamatan, tetapi juga berjaya memupuk semangat perpaduan dan kesihatan melalui aktiviti sukan. Ia adalah satu platform yang baik untuk mahasiswa dan masyarakat untuk berinteraksi dan memahami budaya antara satu sama lain.”
Larian sejauh 5 kilometer ini bukanlah untuk mencari pemenang tetapi bagi meraikan keindahan kampus UPSI. Para peserta bersemangat memulakan larian mereka sambil menikmati pemandangan indah sekitar kampus, turut disertakan 30 cabutan bertuah kepada peserta larian.
Secara keseluruhannya, Program Borneo Fun Run ini telah berjaya mencapai matlamatnya serta memupuk semangat kesatuan dan perpaduan di kalangan mahasiswa UPSI dan masyarakat setempat.
MPP UPSI merakam ucapan terima kasih kepada rakan kolaborasi yang turut serta menjayakan usaha ini dan berharap agar aktiviti sebegini dapat dilaksanakan dengan lebih kerap agar dapat memperkukuhkan hubungan antara pelajar dari pelbagai latar belakang budaya dan etnik.