Oleh: Afifah Adriana Aznan
4 Jun 2024
Yala, Thailand – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Pusat Ulul Albab dan Pusat Kaunseling dengan kerjasama Universiti Fatoni, Thailand sekali lagi mempamerkan komitmen mereka terhadap tanggungjawab sosial dengan turun padang dan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Yala dan Pattani, Thailand.
Lokasi yang menjadi fokus sumbangan ialah Universiti Fatoni, Pattani dan Madrasah Islahiah, Yala iaitu sekolah tahfiz yang menempatkan seramai 1,040 orang pelajar.
Menurut Pengarah UCTC, Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah, sebanyak 200 naskhah al-Quran wakaf dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya diserahkan kepada Madrasah Islahiah, Yala. Turut disumbangkan, 15 kotak barang sumbangan yang berisi barangan keperluan solat seperti telekung, kopiah dan kain pelikat dari Waqaf, Edndowment, Zakat, Khairat & Sadaqah (WEZAS) serta pakaian preloved seperti jubah, baju kurung, tudung dan baju kanak-kanak hasil sumbangan orang ramai melalui UPSI Preloved Shoppe, Pusat Kaunseling kepada Madrasah Islahiah dan Universiti Fatoni.
Usaha ini adalah bagi memudahkan serta melancarkan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) selepas ditimpa bencana di samping membangunkan institusi pendidikan yang berfokus pada pengajaran ilmu agama dalam mencetak generasi yang cerdas, berakhlak mulia, dan cinta akan al-Quran.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata inisiatif ini menunjukkan kepekaan dan kepedulian terhadap mereka yang terjejas oleh bencana alam.
Tindakan ini bukan hanya memberi sokongan kewangan kepada mangsa banjir untuk memulihkan kehidupan mereka, tetapi juga mengukuhkan ikatan kemanusiaan antara masyarakat Malaysia dan Thailand.
Selain itu, inisiatif seperti ini juga memperlihatkan kesungguhan institusi dan komuniti untuk membantu mereka yang berada dalam kesukaran, memperkukuh solidariti dan kebersamaan di peringkat antarabangsa.