Oleh: Nur Ain Syuhada’ Mohd Sargawi, Hafiz Majdi Romli, Cik Ummikalsum Mat Lazim
Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ), Universiti Pendidikan Idris (UPSI) dengan kerjasama Dapur Jalanan Kuala Lumpur (DJKL) menganjurkan Program “Hands Of Kasih” untuk sukarelawan membabitkan diri dalam memasak dan mengagihkan makanan dan minuman sihat kepada gelandangan di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Penyertaan ini melibatkan seramai 26 orang daripada mahasiswa Persatuan Tahfiz Qiraat UPSI.
Pengerusi DJKL, Qurratu Ain berkata “penubuhan Dapur Jalanan Kuala Lumpur ini bermula daripada tahun 2013, yang mana ketika itu ahli DJKL hanya beberapa orang sahaja. Sehingga kini, ahli DJKL bertambah sehingga lebih kurang 40 orang.
”DJKL yang berpengkalan di Kelab Bangsar Utama Kuala Lumpur bertujuan mengetengahkan dan mengurangkan masalah realiti yang berlaku di Kuala Lumpur iaitu kemiskinan bandar.
Proses memasak makanan di sini bermula di Kelab Bangsar Utama dan seterusnya bergerak ke Jalan Panggong untuk menyediakan makanan kepada golongan yang memerlukan” katanya.
Selain itu, DJKL ini juga turut menyediakan khidmat pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada komuniti di sekitar tersebut yang mana mereka ini berkolaborasi bersama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia. DJKL juga turut menyediakan pakaian percuma setiap 2 bulan sekali kepada komuniti yang memerlukan di sini.
Penasihat PTQ, Cik Ummikalsum Mat Lazim, berkata program ini dapat memperkasakan mahasiswa untuk sama-sama membantu masyarakat serta membangunkan kemahiran insaniah sejajar dengan keperluan bidang pekerjaan nantinya. Tahniah
Yang Dipertua PTQ, Muhammad Syahir Nazri berkata “Melihat kepada komuniti di sekitar ini membuatkan kita perlu lebih bersyukur dengan apa yang kita ada dan saya berharap jika diberikan peluang dan masa di lain hari, marilah kita bersama sama turun ke padang untuk terus berbakti pada masyarakat”
Pengarah program, Nur Ain Syuhada’ berkata program itu membantu sukarelawan menghargai nilai dalam membantu seseorang. Penyertaan sebagai sukarelawan ini merupakan pengalaman baru yang membuka mata mahasiswa untuk melihat dunia dengan perspektif yang lebih luas.
Terdapat ramai lagi golongan yang memerlukan bantuan dan perkhidmatan untuk meneruskan kehidupan. Kita perlulah terus berbakti kepada masyarakat baik dari segi tenaga, kewangan mahupun perkhidmatan mengikut kemampuan yang kita ada.
Semoga dengan program yang dijalankan ini, dapat memberi pengalaman baru serta impak yang positif kepada Mahasiswa. Penyertaan ini juga telah mencapai matlamat Sustainable Development Goals iaitu memberi sumbangan dari segi tenaga dan makanan kepada mereka yang memerlukan untuk mengurangkan kadar kebuluran dalam masyarakat (SDG 2: Zero Hunger) dan meluaskan lagi pengetahuan pelajar dalam isu semasa atau perkara yang sering berlaku dalam kehidupan masyarakat di luar sana (SDG 4: Quality Education).