Oleh: Nur Batrisyia Akhtari Ridzuan, Muhammad Amir Haiqal Sawal, Cik Ummikalsum Mat Lazim
4 Jun 2024
Tanjong Malim: Selaras dengan Visi Sukan Negara 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), program pembangunan sukan penting dalam mewujudkan budaya bersukan. Sukan menjadi medium penting bagi melahirkan masyarakat cergas dan aktif.
Justeru itu, buat julung kalinya Program GI Smash Master Tournament dianjurkan oleh Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertempat di Gimnasium, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Tujuan penganjuran adalah untuk melahirkan masyarakat yang aktif dalam dalam aktiviti sukan dan riadah.
Selain itu, program ini bertujuan untuk merapatkan hubungan antara gabungan-gabungan persatuan Islam di UPSI. GI membawa maksud Gagasan Islam yang merupakan nama bagi gabungan persatuan-persatuan Islam di Universiti Pendidikan Sultan Idris yang terdiri daripada Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ), Persatuan Pendidikan Islam (PPI), Persatuan Bahasa Arab (PBA), Al-Mursyidin Club (AMC), Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA), Rakan Siswa YADIM dan HARMONI.
Penasihat Persatuan Tahfiz Qiraat, Ustazah Ummikalsum Mat Lazim dalam ucapannya berkata “program ini diharapkan dapat mengeratkan ukhuwah dan meningkatkan minat bersukan serta mencungkil bakat baharu berpotensi dan kekal aktif dalam bersukan walaupun selepas program dilaksanakan. Hal ini selaras dengan Model Pembangunan Belia MADANI 2030 turut memberi penekanan terhadap kecergasan dan kesejahteraan hidup terutama golongan belia dinamik, kompeten, berdaya saing serta berdaya tahan dalam menghadapi cabaran”.
Pengarah program, Nur Batrisyia berkata “Menerusi perlawanan yang berlangsung, kerjasama jawatankuasa dan peserta daripada setiap persatuan telah mempamerkan aksi kesukanan yang tinggi bagi bersama-sama memupuk budaya sihat dalam kalangan peserta yang sentiasa sibuk dengan tugasan dan tanggungjawab sebagai mahasiswa”.
Penganjuran program ini adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDGs), mereka memberi impak kepada beberapa matlamat seperti mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan melalui aktiviti fizikal. Melihat kepada SDGs kategori SDG 3 iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan, mahasiswa yang mengambil bahagian dalam aktiviti fizikal secara berkala cenderung untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan dengan baik. Penglibatan dalam sukan memerlukan disiplin yang membawa kepada gaya hidup lebih sihat secara keseluruhan. Ia sekali gus membantu memupuk pembudayaan gaya hidup harmoni dalam kalangan persekitaraan mereka.
Tahniah diucapkan kepada semua peserta dan pemenang. Diharapkan dengan penganjuran program ini dapat menyemarakkan lagi semangat untuk terus bersukan pada masa akan datang.