Oleh: Syrelyn Misol dan Sofea Maisarah
4 Jun 2024
Tanjong Malim: “RING! RING!, bunyi loceng kebakaran yang nyaring memecah keheningan di Kolej Ungku Omar, mencetuskan rasa panik di kalangan penghuni. Para penghuni segera bergegas keluar dari setiap blok menuju ke gelanggang bola keranjang.
Sejurus selepas itu, bunyi siren pasukan Bomba dan Penyelamat mula kedengaran, tiba di lokasi kejadian. Semburan air yang kuat berjaya memadamkan kepulan asap tebal di Blok 5. Namun, itu hanyalah gimik latihan kebakaran yang diadakan di Kolej Ungku Omar.
Program Fire Drill anjuran Exco Penginapan dan Kemasyarakatan, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMKUO) dengan kerjasama pihak Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Malim ini merupakan program yang telah menjadi kewajipan pada setiap semester untuk memberi pendedahan kepada penghuni Kolej Ungku Omar (KUO) tentang latihan kebakaran untuk sentiasa bersedia dalam menghadapi segala situasi kecemasan.
Bukan itu sahaja, ia juga memberikan persediaan awal kepada seluruh penghuni Kolej Ungku Omar untuk sentiasa cakna dalam apa jua situasi kebakaran yang berlaku dalam kawasan kolej seperti satu perumpamaan yang mengatakan sediakan payung sebelum hujan. Lakonan seakan-akan nyata yang dipersembahkan oleh penghuni Kolej Ungku Omar telah diberikan pujian oleh pihak bomba kerana dapat melaksanakan dengan baik dan cekap.
Pengetua Kolej Ungku Omar, Profesor Madya Dr. Nizam Nasrifan berkata bahawa program ini diadakan untuk memberi pendedahan bagaimana penghuni bertindak dengan bijak untuk mengambil langkah selamat sewaktu kebakaran. Beliau turut mengucapkan tahniah atas komitmen yang ditunjukkan oleh penghuni dalam mengambil tindakan segera jika berlaku kebakaran.
Demonstrasi cara mengendalikan kebakaran oleh pihak Bomba telah berjaya mencuit hati semua penghuni Kolej Ungku Omar. Ia diselangi dengan hiburan yang menyeronokkan serta ilmu berguna yang diperoleh sepanjang demonstrasi, sesuai dengan kata-kata pihak bomba bahawa “ilmu yang baik itu harus dikongsi”.
“Saya pada awalnya rasa gemuruh sedikit ketika nak mengendalikan pemadam api itu, tapi selepas mencuba saya rasa gembira kerana dapat melakukan dengan baik. Ini adalah pengalaman yang akan berada di ingatan saya sampai bila-bila’, kata Ashmire, salah seorang penghuni Kolej Ungku Omar.