Oleh: Siti Aisyah Mansor dan Nurul Aqilah binti Mohamad Nooh
Aceh: Program Outbound Mobility Shortcourse Exchange Knowledge anjuran Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pusat Ulul Albab mengunjungi Pascasarjana Fakultas Tarbiah dan Keguruan, Universitas Islam Negeri Ar-Raniry (UIN) Ar-Raniry Banda Aceh, Indonesia.
Program selama tujuh hari ini menyaksikan pelbagai pengisian ilmu baharu serta pendedahan di luar kotak pemikiran kepada para peserta yang terdiri daripada 26 mahasiswa UPSI diiringi pegawai FSK UPSI dan Pusat Ulul Albab.
Tujuan program adalah menjalin kerjasama antara UPSI dan Pascasarjana UIN Ar-Raniry Banda Aceh. Hubungan ini berpotensi sebagai platform untuk bertukar idea dalam sejarah dan budaya Aceh, keistimewaan syariat Islam, pasca tsunami, konflik dan perdamaian di Aceh.
Program mendapat sokongan penuh daripada International & Mobility Centre (IMC) UPSI dan Jabatan Pengajian Islam UPSI. Kehadiran delegasi disambut oleh Rektor UIN Ar-Raniry Banda Aceh, Prof Dr Mujiburrahman, serta Direktur Pascasarjana, Prof Dr Eka Srimulyani di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda, Acheh pada 12 Mei 2024.
Turut hadir bersama barisan Warek III Prof Saifullah, Prof Dr T Zulfikar, En. Mirwan Fasta dan Ketua Pejabat Antarabangsa UIN Ar-Raniry, En. Asyraf Muzaffar.
Prof Dr. Zulfikar adalah orang penting dalam penyusunan aktiviti delegasi UPSI sepanjang berada di UIN Ar-Raniry dari International Roundtable Session, diteruskan dengan KPM Internasional-Understanding Local Wisdom, dan Perbincangan Kumpulan Fokus di Pesantren Al-Manar Aceh Besar serta berakhir dengan city tour yang penuh dengan nostalgia sejarah pahit manis kebangkitan rakyat Aceh menangani bencana tsunami.
Untuk mendalami pengalaman tsunami 2004, delegasi UPSI melawat Muzium Tsunami Acheh semasa city tour. Lawatan ini memberi pendedahan sebenar kepada peserta mengenai kawasan pasca bencana serta kesan kepada penduduk setempat, memberikan pengalaman mengenai sosiobudaya masyarakat di Acheh.
Sepanjang program, mahasiswa menunjukkan semangat dan keharmonian dalam usaha menjayakan program serta menerima segala perkara yang mampu membentuk jiwa menjadi mahasiswa holistik di bumi Serambi Mekah. Perkongsian pengalaman menambah pengetahuan dan kaedah penyelesaian masalah.
Lawatan ke Muzium Tsunami Acheh memberi peluang kepada mahasiswa UPSI untuk melihat dan memahami dengan jelas kesan bencana serta bagaimana masyarakat Acheh bangkit membina semula budaya dan tamadun yang pernah diamalkan. Mahasiswa juga dapat mengetahui dengan lebih lanjut serta cakna tentang kepentingan adaptasi sosiobudaya masyarakat di Acheh.