31 Mei 2024

Setia Alam: Tadika Tahfiz Naluri Pintar (TTNP) cawangan Setia Alam menjadi lokasi bagi perbincangan sulung kolaborasi antara Pusat Ulul Albab, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Yayasan Pahang. Turut hadir semasa perbincangan dan lawatan adalah pengasas pendidikan berasaskan Ulul Albab negara, Tan Sri Idris Jusoh.

Lawatan ini bertujuan membincangkan peluang kolaborasi untuk menjayakan projek Thalatha Tis’ah, yang bertujuan memperkasakan pendidikan Tahfiz dan Akademik pada peringkat pendidikan awal kanak-kanak. Tan Sri Idris Jusoh tiba di TTNP Setia Alam dengan diiringi beberapa tenaga pakar dan penasihat dalam bidang pendidikan. Pusat Ulul Albab diwakili oleh Pengarahnya, Dr. Sakinah Salleh, dan Penyelaras 1, Dr. Tajul Rosli Shuib.

Rombongan ini disambut meriah oleh YH Datuk Indera Mahmud Mohd Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, bersama pegawai-pegawai Yayasan Pahang dan kakitangan TTNP yang lain. Ahli rombongan dibawa melawat sekitar TTNP Setia Alam yang merupakan cawangan pertama di luar Pahang. Ahli rombongan diberi taklimat berkenaan pelaksanaan sistem pendidikan yang dikendalikan Yayasan Pahang, terutamanya dalam aspek pendidikan awal kanak-kanak. Siri-siri kejayaan yang telah direkodkan oleh institusi-institusi pendidikan di bawah kendalian Yayasan Pahang turut dipersembahkan.

Perbincangan yang diadakan memfokuskan kepada projek Thalatha Tis’ah dan mendapatkan maklum balas dan pandangan dari semua pihak yang terlibat. Pelbagai pandangan dan kritikan membina berjaya dikumpulkan untuk gerak kerja awal yang akan dimulakan oleh Pusat Ulul Albab. Tan Sri Idris Jusoh menyatakan, “Projek Thalatha Tis’ah ini adalah satu langkah penting dalam memperkukuhkan asas pendidikan awal kanak-kanak dengan menggabungkan elemen Tahfiz dan akademik. Kerjasama dengan Yayasan Pahang akan membuka jalan kepada lebih banyak peluang dan inovasi dalam pendidikan.”

Dr. Sakinah Salleh turut menambah, “Pandangan dan maklum balas yang kami terima hari ini sangat berharga untuk memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ia juga merupakan sebahagian penggerak projek Andalusia yang juga diperkenalkan oleh Tan Sri sebelum ini”.

Beberapa orang guru TTNP turut ditemubual untuk mendapatkan pandangan berkenaan pelaksanaan kurikulum semasa TTNP, khususnya dalam melaksanakan Tahfiz pada pendidikan awal kanak-kanak. Tan Sri Idris Jusoh bersama ahli rombongan juga merancang beberapa langkah susulan bagi merangka strategi yang lebih baik untuk melaksanakan projek ini.

Secara keseluruhannya, lawatan ini berjaya mencapai objektifnya dalam menghubungkan Pusat Ulul Albab dengan Yayasan Pahang, memperkenalkan konsep Thalatha Tis’ah, dan merangka tindakan susulan bagi merealisasikan hasrat tersebut. Semoga usaha murni ini berjaya dan diberikan kemudahan dalam pelaksanaannya kelak.