1 Jun 2024

Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menerima kunjungan hormat YBhg. Tan Sri Idris Jusoh dalam usaha beliau merapatkan hubungan dan kerjasama bersama Pusat Ulul Albab dan pihak universiti. Idris Jusoh hadir bersama beberapa penasihat akademik yang terlibat dalam merangka dasar bagi projek yang diilhamkan beliau, Andalusia 2.0 dan Thalatha Tis’ah.

Kunjungan tersebut disambut mesra oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Abdul Rahim bin Razalli, serta beberapa pegawai kanan universiti.

Naib Canselor terlebih dahulu membawa Tan Sri Idris dan rombongan melawat Bangunan Canselori yang sarat dengan sejarah dan nilai warisan. Selepas itu, mereka dijemput ke bilik mesyuarat untuk perbincangan lanjut mengenai kerjasama pendidikan yang dihasratkan.

Dalam perbincangan tersebut, Tan Sri Idris Jusoh  membentangkan hasrat beliau agar UPSI menerima dengan baik projek baharunya, Thalatha Tis’ah. Projek tersebut adalah sebuah inisiatif pendidikan awal kanak-kanak yang memfokuskan kepada hafalan Al-Quran bermula seawal usia tiga tahun. Program ini terdiri daripada dua fasa utama yang merangkumi pembelajaran bacaan, hafalan, tulisan, dan penguasaan bahasa Arab. Fasa pertama melibatkan kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun, manakala fasa kedua melibatkan kanak-kanak berusia enam hingga sembilan tahun. Matlamat utama projek ini adalah untuk memastikan kanak-kanak mampu membaca, menghafal, dan memahami Al-Quran dengan baik serta menggunakan bahasa Arab dengan fasih.

“Kerjasama ini adalah langkah penting untuk memastikan bahawa pendidikan Al-Quran dan penguasaan bahasa Arab dapat ditingkatkan dari usia yang sangat muda,” kata Tan Sri Idris bin Jusoh. “Saya yakin bahawa dengan sokongan UPSI, projek ini dapat memberikan impak yang besar kepada pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.”

Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, turut menyatakan sokongan penuh terhadap projek ini. “UPSI sentiasa menyokong usaha-usaha yang memperkasa pendidikan. Projek Thalatha Tis’ah selaras dengan visi kami untuk melahirkan generasi yang berilmu dan berakhlak mulia,” ujarnya.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Abdul Rahim bin Razalli, juga menzahirkan keyakinannya terhadap kerjasama ini. “Kami di UPSI sangat teruja untuk bekerjasama dalam projek ini dan berharap ia akan menjadi model pendidikan yang boleh dicontohi,” katanya.

Kunjungan hormat ini diakhiri dengan harapan yang tinggi agar kerjasama ini dapat memacu kecemerlangan dalam pendidikan Al-Quran dan bahasa Arab. “Kami berharap projek ini dapat diteruskan dengan jayanya dan memberi manfaat besar kepada masyarakat,” tambah Tan Sri Idris. Dengan komitmen dan kerjasama erat antara semua pihak yang terlibat, projek Thalatha Tis’ah dan Andalusia diharapkan akan menjadi pemangkin kepada perubahan positif dalam sistem pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)