Tanjong Malim,03 Jun 2024 – Kemeriahan Sambutan Gawai dan Kaamatan turut dirasai di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan penganjuran Sambutan Gawai Kaamatan peringkat UPSI di Dataran Cemerlang Bersama pada 3 Jun 2024 oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan kerjasama Persatuan Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS) dan Persatuan Jalinan Anak Sarawak (JASA) buat julung kalinya.
Pesta Kaamatan yang juga dikenali sebagai Pesta Menuai disambut oleh masyarakat Kadazandusun di Sabah manakala Hari Gawai Dayak disambut oleh masyarakat Dayak di Sarawak.

Dalam kemeriahan sambutan ini, warga UPSI diperlihatkan dengan pelbagai budaya yang ada di Sabah dan Sarawak seperti tarian dan nyanyian. Apa yang lebih menarik lagi, Sambutan Gawai Kaamatan UPSI 2024 dimeriahkan dengan penampilan khas Unduk Ngadau UPSI 2024, Mr. Kaamatan UPSI 2024 dan Kumang UPSI 2024.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPSI sidang 2023/2024, saudara Amirul Haiqal berkata bahawa hampir 60% pelajar yang melanjutkan pelajaran di UPSI merupakan pelajar yang berasal daripada Sabah dan Sarawak. Oleh itu, sambutan ini diadakan bagi meraikan mahasiswa yang berasal dari Borneo. Diharapkan sambutan seperti ini dapat mengubati rindu mahasiswa Borneo yang berada di perantauan dan tidak dapat pulang ke kampung untuk menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

Sambutan ini telah dirasmikan oleh Ts. Dr. Megat Azrin selaku wakil daripada Jawatankuasa Pengurusan Universiti. Di dalam upacara perasmian, beliau menyatakan bahawa sambutan seperti ini amat baik untuk dilaksanakan dan boleh diteruskan di masa hadapan. Dalam sambutan ini juga, beliau turut menyempurnakan gimik penyerahan Bakul Rahmah MPP4U kepada wakil IKSAS dan JASA unyuk diberikan kepada mahasiswa Borneo yang memerlukan.
Semoga sambutan seperti ini dapat memperkukuhkan ukhuwah serta menguatkan ikatan kesepaduan dan kebersamaan dalam meraikan kepelbagaian warga UPSI