Oleh: Nurul Sakinah Abdul Shamat
5 Jun 2024

Alor Gajah:  Bersempena dengan Hari Penyu Sedunia pada 23 Mei 2024, seramai 40 orang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terdiri daripada kalangan sukarelawan dan ahli jawatankuasa pelaksanaan di bawah anjuran Exco Sains Teknologi dan Inovasi Pertanian, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMKUO) sidang Arkana dengan kerjasama Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Alor Gajah serta Pelajar dari Kursus Kesukarelawanan mengambil tindakan proaktif dengan mengadakan Program KUO Sea-Cure dengan jayanya yang bertempat di Alor Gajah, Melaka.

Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada penghuni tentang kepentingan ekosistem dan kebersihan pantai demi kebaikan alam sekitar serta membersihkan kawasan pantai dengan menjalankan aktiviti gotong-royong untuk melancarkan proses pelepasan anak penyu bagi meningkatkan produktiviti dan populasi penyu di Malaysia.

Impak pelaksanaan program kesedaran ini sedikit sebanyak memupuk sikap tanggungjawab dan sayang akan alam sekitar dalam kalangan pelajar melalui pelbagai pengisian aktiviti-aktiviti menarik.

Terdapat tiga slot aktiviti dijalankan iaitu bengkel ekosistem laut dan penyu, pembersihan sekitar kawasan pantai pekarangan habitat anak penyu, pembersihan kolam penyu dan aktiviti penggalian sarang penyu.

Peserta menunjukkan kesungguhan yang tinggi dan memberikan kerjasama yang baik sepanjang tiga slot iaitu bengkel ekosistem laut dan penyu, pembersihan sekitar kawasan pantai pelepasan anak penyu dan kolam penyu serta penggalian sarang penyu yang dijalankan di sekitar pekarangan pantai habitat penyu tersebut.

Felo Kolej Ungku Omar merangkap penasihat program, Encik Alamin Ismail berkata, “Aktiviti penggalian sarang penyu tampak memberikan rasa yang amat teruja dalam kalangan mahasiswa UPSI yang terlibat kerana ramai daripada kalangan mereka pertama kali seumur hidup berpeluang memegang anak penyu.

Para mahasiswa juga didedahkan dengan cara penggalian sarang penyu yang cukup teliti oleh pegawai yang bertauliah di pusat konservasi tersebut.”

Hanya lima ekor sahaja anak penyu yang terperangkap daripada antara sepuluh sarang penyu yang digali berhasil dikeluarkan oleh para mahasiswa manakala yang selebihnya telah berjaya menetas lalu dilepaskan ke laut dan telur yang belum menetas dianggap telah rosak setelah berada selama dua bulan di dalam sarang-sarang tersebut.

Penolong Pegawai Tadbir Kolej Ungku Omar, Encik Hafiz Abd Manap,berkata, “Program KUO Sea-Cure telah berhasil membuka ruang minda para mahasiswa tentang kepentingan menjaga kebersihan pantai dan ekosistem laut bagi menjaga populasi kehidupan akuatik serta memberikan kelainan apabila para sukarelawan sendiri berpeluang untuk mengendalikan aktiviti penggalian sarang penyu yang baru menetas ke pantai bagi meneruskan kesinambungan hidupan akuatik ini”.

Program yang telah dianjurkan ini memberikan impak yang positif dalam kalangan mahasiswa UPSI sejurus menghadirkan kesedaran kepada mereka untuk sentiasa bertanggungjawab menjaga kelestarian alam sekitar dan kehidupan akuatik.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)