Oleh: Shahril Shazwan Sharuddin
1 Jun 2024
Bangsar: Majlis Perumahan Universiti Awam Malaysia (MAPUM) merupakan sebuah badan yang ditubuhkan ditubuhkan melalui Mesyuarat Timbalan Naib Canselor/Timbalan Rektor IPTA ke-123 pada 17 Julai 1993, bertanggungjawab memperkasakan peranan Hal Ehwal Pelajar, Penginapan, dan Perkhidmatan Pelajar selari dengan perkembangan dan cabaran masa kini dalam pendidikan tinggi disamping mendukung aspirasi hal ehwal pelajar selaras dengan misi dan visi universiti.
Majlis Anugerah Bakat MAPUM (MABMA) adalah sebuah program yang diadakan bagi menghargai jasa dan khidmat bakti mahasiswa serta kakitangan yang telah bertungkus lumus menjayakan program serta pentadbiran kolej kediaman di universiti awam seluruh negara. Penganjuran MABMA 2023 yang berlangsung pada 29 Mei 2024 di Universiti Malaya merupakan penganjuran kali ke-2 dan telah dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Encik Hisman Awang @ Semail.
Pengerusi Majlis Pengetua Kolej Kediaman UPSI, Profesor Madya Dr. Mohd Nizam Nasrifan berkata, “Kepimpinan mahasiswa khususnya Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) daripada universiti pendidikan terkemuka ini semakin terserlah apabila berjaya menganjurkan pelbagai program berimpak tinggi sama ada kepada komuniti, negeri, negara mahupun antarabangsa.”
Tambahnya lagi, kemenangan lima anugerah dalam MABMA 2023 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi melalui Majlis Perumahan Universiti Awam Malaysia (MAPUM) yang berlangsung di Universiti Malaya telah membuktikan potensi dan kehebatan mahasiswa serta kakitangan UPSI dalam bidang kepimpinan serta pengurusan. Beliau berharap agar potensi ini terus digilap khususnya apabila berada dalam bidang kerjaya yang diceburi suatu hari kelak.
Program ini turut dihadiri oleh Pengerusi Majlis Perumahan Universiti Awam Malaysia (MAPUM), Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor universiti awam, warga kolej kediaman universiti awam serta finalis anugerah MABMA 2024.
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi kolej kediaman berjaya merangkul lima anugerah dalam MABMA 2023 yang terdiri daripada empat mahasiswa dan seorang kakitangan universiti. Hannatul Akila binti Esahak dari Kolej Ungku Omar menerima Anugerah Pemimpin Program Keusahawanan Terbaik (Anugerah Emas). Siti Fairuz Rohaliza binti Ejahar dari Kolej Aminuddin Baki menerima Anugerah Pemimpin Kolej Kediaman Terbaik (Anugerah Perak). Siti Maisarah binti Mohamad Yazid dari Kolej Za’ba menerima Anugerah Pemimpin Program Kebudayaan (Anugerah Perak). Mohd Akmal Akasyah bin Abd Salam dari Kolej Ungku Omar menerima Anugerah Pemimpin Program Sukan Terbaik (Anugerah Perak). En. Zulkifli bin Razali, Pembantu Operasi Unit Kediaman Luar Kampus, menerima Anugerah Sukan Cemerlang (Lelaki) (Anugerah Emas).
Kejayaan ini membuktikan komitmen dan dedikasi mahasiswa serta kakitangan UPSI dalam mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing. Ia juga menunjukkan keupayaan UPSI dalam melahirkan pemimpin masa depan yang berkaliber.