Oleh: Nur Afrina Mohamad Hizam
Tanjong Malim – Program Youth Edu-Climate yang disertai oleh seratus mahasiswa tempatan dan antarabangsa telah menyemarakkan perpaduan dan integrasi global melalui pertandingan inovasi projek pendidikan alam sekitar yang dirangka berasaskan rancangan pembangunan mampan, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Pengarah program, Abbas Ali Iftikhar Hussain, berkata kerjasama antara belia dan institusi kerajaan serta bukan kerajaan memainkan peranan penting bagi memastikan kelestarian alam dapat dijaga dengan sebaik mungkin. Kolaborasi bersama FGV Holdings Berhad, Yayasan Hasanah, WWF-Malaysia, Pusat Antarabangsa dan Mobiliti (IMC), Suruhanjaya Tenaga, dan Perkhidmatan Air Negara telah membuka peluang bagi sesi knowledge transfer kepada mahasiswa dalam pemeliharaan dan pemuliharaan biosfera.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin, program antarabangsa ini merupakan inisiatif yang sangat berkesan sebagai medium pendedahan kepada Rancangan Pembangunan Mampan (SDG) menggunakan pendekatan pembelajaran melalui program.
“Inisiatif ini sejajar dengan misi kita untuk memupuk budaya kelestarian dan tanggungjawab dalam kalangan pelajar tempatan serta pelajar antarabangsa dalam memperkasakan kebitaraan pendidikan melalui advokasi terhadap pemeliharaan alam sekitar,” tambah beliau lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar, dan Teknologi Hijau Negeri Perak, Teh Kok Lim, menzahirkan rasa kagum melihat semangat generasi muda membentangkan inovasi projek pendidikan alam sekitar yang memberi sinar harapan ke arah ekosistem yang lebih lestari pada masa hadapan.
“Menerusi program ini, kita dapat melahirkan belia yang kritis dan inovatif dan menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, selaras dengan nilai daya cipta yang terkandung di dalam teras Malaysia Madani,” ujarnya semasa merasmikan program Youth Edu-Climate di Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Program ini berjaya dilaksanakan selari dengan harapan Pengetua KHAR, Dr. Haji Che Anuar Che Abdullah, dalam menyatupadukan mahasiswa di Malaysia dalam mencari solusi kepada isu-isu global. Penglibatan pelajar daripada China, Nigeria, Pakistan, Bangladesh, Indonesia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Universiti Teknologi Mara (UiTM Shah Alam), Politeknik Mersing Johor, dan Universiti Selangor membuka perspektif diskusi yang lebih luas dalam kalangan mahasiswa dan rakan-rakan strategik.
Sejumlah RM 4300.00 wang tunai telah dimenangi oleh pemenang bagi projek pendidikan alam sekitar yang telah dibentangkan, seperti teknologi perparitan kalis banjir, bumbung hijau, pameran kelestarian, dan semburan air di susur gajah. Pameran interaktif daripada rakan strategik juga menjadi tarikan kepada peserta untuk belajar dan memenangi hadiah menarik.
Kesinambungan antara pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar serta inovasi pendidikan dapat menjadi batu loncatan dalam pemerkasaan Malaysia Madani. UPSI sentiasa terbuka dan menyambut baik program yang menyokong pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam memupuk perpaduan dan kerjasama dalam kalangan mahasiswa, industri, organisasi, serta masyarakat setempat. Pendedahan dan pengetahuan baru melalui resolusi idea yang disampaikan bukan sahaja mencipta hubungan baik bersama organisasi yang terlibat, malah mempergiat usaha kolektif dalam menangani krisis global.