Oleh : Lyana Rahim
Muallim, 2 Jun 2024 – Populariti berbasikal, terutamanya pada basikal boleh lipat, telah mengalami lonjakan besar dalam beberapa dekad kebelakangan ini. Sifat basikal lipat yang kecil dan praktikal telah membawa kepada populariti mereka yang semakin meningkat dan menjadi trend di lapisan masyarakat.
Dengan anjuran dari Majlis Anak Johor (M@JOR) Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Loco Cyclist International dan Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM), lebih 300 orang peserta telah menyertai aktiviti berbasikal dalam program Fun Ride @ UPSI Muallim Bike Camp 2.0 Sempena Tahun Melawat Perak yang bertempat di Tapak Food Truck, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS), Universiti Pendidikan Sultan Idris. Program ini bermula dari jam 9.00 pagi sehingga 11.00 pagi dan bertujuan menjadi medium untuk mempromosikan salah satu daerah yang terdapat di Perak kepada peserta yang khususnya dari Singapura dengan aktiviti berbasikal.
Menurut Encik Mohd Ikram Bin Ahmad yang merupakan Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjong Malim, “Universiti Pendidikan Sultan Idris merupakan sebuah tempat bersejarah, selari dengan tujuan program, sempena tahun melawat Perak, saya harap peserta-peserta Muallim Bike ini dapat menikmati keindahan binaan binaan yang telah berusia lebih 100 tahun. Tempat ini menjadi saksi banyak graduan yang telah berjaya dan menyumbang bakti pada negara”
Program ini juga merupakan kolaborasi dan sokongan penuh daripada pihak pengurusan di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Antaranya, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Fakulti Seni, Kelestarian Dan Industri Kreatif (FSKIK), Jabatan Pengurusan Dan Harta Benda (JPPHB), Bahagian Keselamatan, Bahagian Komunikasi Korporat (BKK), Bahagian Pengangkutan dan Muzium Pendidikan Nasional. “Program ini merupakan inisiatif terbaik dalam mempromosikan lagi UPSI ke persada antarabangsa dan menjadikan UPSI sebagai salah satu hub pendidikan pelancongan yang menjanjikan pengalaman yang menerujakan. Saya pasti program ini bakal menjadi satu penanda aras untuk badan persatuan di dalam UPSI untuk lebih memfokuskan program yang berimpak kepada komuniti dan menyumbang kepada universiti seperti ini”, jelas Mohd Syamil selaku Pengarah Program.
Tiga hentian utama menjadi pilihan peserta basikal lipat ini iaitu Muzium Pendidikan Nasional, Bangunan SKTM dan Perpustakaan Tuanku Bainun untuk mengambil gambar dan mereka berpeluang sendiri untuk mendengarkan penerangan mengenai sejarah dan keunikan tempat terbabit oleh wakil pihak Muzium Pendidikan Nasional semasa mengelilingi Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Kayuhan yang bermula dari Ujana sehingga ke Pekan Tanjong malim dan Kampus Sutlan Abdul Jalil Shah sebagai lokasi persinggahan utama sebelum kembali ke Ujana sebagai lokasi terakhir yang merekodkan perjalanan lebih kurang 30 km. Di samping objektif utama program untuk mempromosikan UPSI, program ini juga memupuk gaya hidup yang sihat dalam kalangan komuniti setempat khususnya penduduk Tanjong Malim dan warga UPSI.