Oleh: Prof. Madya Dr. Som Cit Si Nang & Anuar Azizi Anuar Basha

Tanjong Malim:  Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menerima kunjungan auditor bagi Akreditasi Antarabangsa ASIIN (The Accreditation Agency for Study Programmes In Engineering, Informatics, Natural Sciences And Mathematics) pada 29 hingga 30 Mei bertempat di Bilik Mesyuarat Utama FSM, UPSI.

Auditor Akreditasi Antarabangsa ASIIN yang hadir ialah Prof. Dr. Susanne Heinicke, Prof. Dr. Kerstin Kremer, Prof. Dr. Thomas Trefzger, Medina Andini,  Hafiz Mazlan dan Dipl. Phys. Rainer Arnold dari Pejabat ASIIN.

ASIIN merupakan sebuah agensi yang menawarkan jaminan kualiti kepada universiti di Jerman dan peringkat antarabangsa. ASIIN melaksanakan prosedur akreditasi di peringkat program dan universiti. Badan pengiktirafan ini merupakan peneraju akreditasi antarabangsa program akademik dalam bidang kejuruteraan, sains semula jadi, matematik, sains komputer, bidang perubatan dan ekonomi.

FSM menyasarkan dua program iaitu Sarjana Muda Pendidikan (Biologi) dengan Kepujian (AT11) dan Sarjana Muda Pendidikan (Fizik) dengan Kepujian (AT12) untuk memperoleh akreditasi antarabangsa ASIIN pada tahun 2024. Program-program ini dipilih kerana ia menepati keperluan jawatankuasa teknikal yang ditawarkan oleh pihak ASIIN.

Sesi auditan selama dua hari tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof. Dr. Abdul Rahim Razalli, Dekan FSM, Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah, Dekan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Prof. Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor, Pengarah Pusat Pembangunan Akademik, Prof. Madya Dr. Normah Jusoh, Timbalan Pengarah Pusat Antarabangsa dan Mobiliti, Prof. Madya Ts. Dr. Shahrul Kadri Ayop dan Ketua Timbalan Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal Akademik, Suhaila Sidek.