Oleh: Ahmad Hadif Furqan Zakaria, Nurul Adila Hasan Albakri dan Cik Ummikalsum Mat Lazim
Tanjong Malim: Program Rabithah Al-Qulub yang mengumpulkan pelbagai lapisan warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertujuan memupuk kesatuan hati, merayakan kejayaan yang telah dicapai, dan perkembangan penubuhan Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPPTI) oleh Jabatan Pengajian Islam (JPI). Program ini juga bertujuan menghargai penglibatan warga JPI yang banyak berkorban serta komited dalam mengharumkan nama jabatan, fakulti, dan universiti.
Inisiatif penganjuran oleh Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ) ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan serta meningkatkan kesepaduan antara pensyarah dan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Pendidikan Islam dan ISMP Tahfiz Al-Quraan dan Qiraat serta meraikan kejayaan cemerlang dalam kalangan warga JPI.
Hal ini sejajar dengan ajaran agama Islam yang menekankan nilai-nilai kesatuan. Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imran ayat ke-103 yang bermaksud, “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.”
Program ini dimulakan dengan alunan ayat suci Al-Quran yang diperdengarkan oleh Saudara Wan Muhammad Irsyad Wan Zulkifli, wakil pelajar ISM Tahfiz al-Quran dan Qiraat Semester 4.
Ketua Jabatan JPI, Prof. Madya Dr. Husna Husain, dalam perasmiannya berkata bahawa seseorang pelajar yang bakal menjadi pendidik kepada masyarakat perlu menjadi manusia yang bermanfaat kepada manusia lain, menjadi hamba yang taat kepada Allah SWT serta tahu akan perkara yang boleh menjadi bekalan sepanjang menuntut ilmu di UPSI.
Program diteruskan dengan sesi Kalam Murabbi yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Ibrahim Hashim. Beliau menekankan adab seorang pelajar dalam menuntut ilmu, seperti memperbetulkan niat, tamak akan ilmu, mempunyai sikap tawadhu’, memuliakan guru, jauh dari perkara maksiat, dan sabar dalam menuntut ilmu.
Seterusnya, sesi soal jawab berlangsung bagi merungkai permasalahan pelajar. Para mahasiswa diberikan peluang untuk bertanya soalan, antaranya berkaitan perancangan jabatan, akademik, kerjaya masa depan, dan isu berkaitan ISM Tahfiz Al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan serta ISMP (Pendidikan Islam). Medium ini membuka ruang kepada pelajar untuk lebih memahami serta menghargai sumbangan ilmiah dan akademik oleh para pensyarah.
Program diakhiri dengan sesi “Meet and Greet with Academic Advisor”. Pertemuan ini adalah amat penting kepada para pelajar selain dapat berkenalan dengan Penasihat Akademik dan rakan-rakan baharu. Program Meet and Greet juga memberi peluang kepada Penasihat Akademik untuk berkenalan dan beramah mesra, menjelaskan asas-asas berkaitan akademik seperti struktur kursus, “add” dan “drop” kursus, serta memberi penekanan kepada nilai budi dan adab yang perlu diamalkan sebagai bakal pendidik dalam bidang Pengajian Islam.
Secara keseluruhannya, program Rabithah Al-Qulub memberikan impak yang positif dalam meningkatkan kesedaran akan kepentingan kesatuan dan kerjasama dalam konteks akademik, serta memperkuatkan ikatan emosi dan rohani antara pelajar dan pensyarah di bawah Jabatan Pengajian Islam di peringkat universiti dan persada negara.