Oleh: Dr. Siti Nur Akmar Mohd Yazid
Nilai, 4 Jun 2024- Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) daripada kursus Industri dan Isu Semasa Dalam Kimia (SKU3053), Jabatan Kimia Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan satu lawatan akademik ke Ajinomoto (Malaysia) Berhad yang terletak di Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan.
Lawatan ini telah disertai oleh 22 orang pelajar kursus SKU3053 dan seorang pensyarah kursus. Menurut pengarah program, lawatan akademik ini merupakan antara komponen yang dinilai sebagai salah satu tugasan kursus SKU3053 bertujuan untuk menghubungkaitkan pemprosesan bahan mentah dengan produk pengguna dan mampu bekerja secara autonomi dan menunjukkan profesionalisme dalam menguruskan tanggungjawab yang diberi.
Lawatan bermula jam 2.00 petang dengan taklimat yang disampaikan oleh wakil Ajinomoto Malaysia. Azmi berkenaan pengoperasian Ajinomoto (Malaysia) Berhad, tayangan video korporat, dan penerangan tentang agenda lawatan. Semasa sesi ini, para pelajar turut bertanya soalan kepada pihak industri berkenaan proses-proses yang melibatkan prosedur kimia serta isu semasa dalam kimia di industri Ajinomoto (Malaysia) Berhad ini. Ternyata, pengoperasian kilang mesra alam ini menitikberatkan usaha penggunaan tenaga solar, gas asli sebagai bahan bakar, serta rawatan bahan buangan terancang seiring dengan penarafan gred ‘Perak’ Indeks Bangunan Hijau (GBI) yang dicapai oleh indusri ini.
Selepas itu, rombongan telah dibawa untuk melawat ke bahagian sejarah penemuan dan penubuhan kilang Ajinomoto Jepun dan Malaysia serta informasi kesihatan. Menariknya, Ajinomoto (Malaysia) Berhad telah menubuhkan seksyen SALAM (Sistem Ajinomoto Lindungi Alam Malaysia) untuk menguruskan isu-isu berkaitan persekitaran khususnya sisa buangan daripada pemprosesan dan sisa lain yang dihasilkan daripada operasi penghasilan produk.
Aktiviti diteruskan lagi dengan lawatan ke bahagian koridor pengeluaran bagi melihat dengan lebih jelas mesin-mesin yang digunakan di Ajinomoto (Malaysia) Berhad untuk penghasilan produk-produknya. Monosodium glutamat merupakan produk umami jenama Ajinomoto yang paling mendapat sambutan, di samping produk lain seperti Tumix, Seri Aji, dan serbuk lada Aji-Shio. Mesin-mesin berteknologi tinggi yang digunakan serta persekitaran industri yang bersih menjadikan jenama Ajinomoto kekal relevan dan mampu bertahan lama di pasaran tempatan mahupun antarabangsa.
Agenda lawatan menjadi bertambah menarik dengan aktiviti sesi uji rasa sup, sesi kuiz, dan demonstrasi masakan. Pelbagai cenderahati dan sampel produk telah diberikan oleh industri serta para pelajar turut berpeluang untuk memasak di dapur yang telah disediakan dengan menggunakan produk-produk Ajinomoto. Terbukti, hasil masakan menjadi sungguh menyelerakan dengan tambahan perasa umami daripada produk Ajinomoto ini.
Salah seorang pelajar program yang ditemui berkata, lawatan akademik yang diadakan ini mencapai matlamat dan tujuan yang diinginkan.
“Saya bersyukur kerana berpeluang turut serta dalam lawatan ini kerana banyak ilmu yang telah saya pelajari. Lawatan ini telah membuka minda saya supaya berfikiran lebih luas dan menjadikan pembelajaran tidak hanya berlangsung di dalam kuliah sahaja”.
Semoga lawatan akademik seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang dalam usaha membantu meningkatkan kefahaman para pelajar tentang proses-proses di industri dan isu semasa dalam kimia.
Ajinomoto (Malaysia) Berhad memulakan perniagaannya tahun 1961 sebagai pengeluar AJI-NO-MOTO® Monosodium Glutamat. Ia juga merupakan antara syarikat usahasama Jepun yang paling awal ditubuhkan di negara ini. Semenjak itu, Ajinomoto (Malaysia) Berhad mula berkembang menjadi pengeluar perasa makanan yang dinamik yang memasarkan pelbagai jenama yang dipercayai oleh rakyat Malaysia selama beberapa dekad. Penambah perisa AJI-NO-MOTO® telah menjadi bahan wajib di hampir setiap rumah rakyat Malaysia.