Oleh: Tengku Nur Farhana Tengku Nasharuddin

Tanjong Malim, 2 JUN 2024: Bagi memenuhi keperluan kursus, Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Ekonomi Rumah Tangga semester lima, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melaksanakan Program Santun Masyarakat yang menfokuskan hubungan baik antara komuniti dan masyarakat. Program ini bertempat di Bengkel Bakeri dan Konfeksionari Bangunan Yusof Ahmad, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS), UPSI. Tujuan program ini adalah untuk memindahkan ilmu tentang pembuatan aneka produk berasaskan doh pastri rapuh kepada para peserta.

Program ini merangkumi penglibatan dua komuniti di Tanjong Malim yang terdiri daripada Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Behrang dan KEMAS Tanjong Malim yang menghimpunkan seramai 16 peserta. Antara produk yang dihasilkan adalah tart telur, chicken quiche, dan tartlet buah. Melalui program ini, mahasiswa Ekonomi Rumah Tangga diberi peluang dan pendedahan mengenai proses pemindahan pengetahuan dan kemahiran serta memberi sumbangan perkhidmatan berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) berkaitan pembuatan aneka produk berasaskan doh pastri rapuh kepada komuniti melalui Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).

Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Behrang, Rohani Khalid, semasa perasmian majlis menyifatkan program ini sebagai satu inisiatif yang baik untuk para peserta bagi menambah ilmu baru dan menjana pendapatan sampingan kerana kelas kursus pembuatan doh pastri rapuh di luar sana menawarkan harga yang agak tinggi. Beliau berharap program sebegini akan dilaksanakan lagi pada masa akan datang.

Timbalan Dekan (Pelajar dan Alumni) Fakulti Teknik dan Vokasional (FTV), Dr. Suriani Mohamed, dalam ucapan perasmiannya menyatakan, “Program sebegini dapat memberi manfaat kepada para pelajar untuk menggilap bakat dan kemahiran yang ada dalam diri secara tidak langsung mampu memberi pengalaman yang penting untuk rujukan pada masa akan datang. Program ini juga dapat melatih para pelajar untuk memantapkan lagi kemahiran insaniah dalam diri masing-masing.”

Pemindahan ilmu tentang pembuatan doh pastri rapuh ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik yang betul dalam menghasilkan tart yang berkualiti. Melalui program ini, peserta dapat mempelajari kemahiran membuat doh pastri rapuh mengikut demonstrasi yang ditunjukkan oleh pelajar. Peserta juga dapat mempelajari pengetahuan tentang bahan, proses pembuatan, dan pengiraan kos bahan. Secara tidak langsung, pemindahan ilmu ini dapat memberi peluang kepada komuniti-komuniti ini untuk menjana pendapatan sampingan bagi memenuhi masa lapang yang ada.

Pengarah program, Nurul Farisha Arina Mohd Fairuz, menzahirkan rasa syukur dan bangga kerana program ini telah mendapat sambutan yang baik daripada kedua-dua komuniti yang terlibat. Beliau menyatakan bahawa matlamat dan objektif program ini telah tercapai dengan jayanya dengan bantuan ahli jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini dari awal hingga akhir.

Program ini diharapkan dapat membantu para pelajar dan peserta dalam menambah ilmu pengetahuan mengenai pembuatan doh pastri rapuh dan menerapkan ilmu ini pada masa akan datang. Ini juga bagi mencapai objektif utama program ini. Tahniah dan syabas diucapkan kepada pelajar ISMP Ekonomi Rumah Tangga dan peserta kerana telah berjaya melaksanakan program ini dengan jayanya. Semoga program yang memberikan manfaat kepada komuniti sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Program ini berakhir dengan penyerahan sijil penyertaan dan sedikit hadiah cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada peserta-peserta yang terlibat.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)