Oleh: Anis Nur Syuhada Ishak
10 Jun 2024
Tanjung Malim: Pasukan Debat Bahasa Arab Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) buat pertama kalinya mengorak langkah ke Qatar dalam International Universities Arabic Debating Championship (IUDC7) yang berlangsung pada 24 hingga 29 Mei 2024.
Nama pasukan debat Bahasa Arab UPSI mekar di peringkat antarabangsa, seiring dengan pasukan-pasukan terbaik dunia walaupun kemenangan tidak memihak kepada pasukan UPSI, pengalaman dan peluang yang diberikan dimanfaatkan sebaiknya.
Pasukan UPSI berjaya merebut mata kemenangan untuk dua pusingan walaupun bertembung dengan pasukan pendebat yang merupakan penutur jati Bahasa Arab.
Pasukan UPSI yang diwakili oleh Aminah Khairuddin, Nor Adibah Mohd Azhar, Hasyiem Yusof dan Anis Nur Syuhada Ishak dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), berjaya menduduki tempat ke-4 dalam IIUM International Arabic Debate Open pada Disember 2023 yang lalu.
Prestasi ini melayakkan mereka untuk mewakili Malaysia bersama tiga universiti lain iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), serta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) sempena International Universities Arabic Debating Championship (IUDC7).
IUDC adalah kejohanan debat Bahasa Arab antara universiti paling terkemuka di dunia sejak tahun 2011, dengan menyaksikan sebanyak 96 buah universiti daripada 50 buah negara terpilih untuk edisi ketujuh kejohanan ini. Antara negara yang menyertai kejohanan ini selain majoriti negara rantau Arab ialah Malaysia (diwakili oleh IIUM, UKM, UiTM, dan UPSI), Indonesia, Thailand, Brunei, Vietnam, India, Sepanyol, Korea Selatan, Amerika Syarikat, United Kingdom, Kazakhstan, Azerbaijan, Turkiye, Portugal, Russia, Georgia, Kosovo, dan Bosnia Herzegovina.
Bukan suatu yang mudah buat pendebat bukan penutur jati Arab untuk berentap dalam arena perdebatan yang menuntut pelbagai kemahiran mendalam dan kompleks, melibatkan pembangunan kemahiran intelek dan sosial yang penting. Namun, cabaran ini berjaya disahut oleh pasukan UPSI.
Pertandingan ini juga menyaksikan kesiapsagaan generasi pendidik negara dalam membuktikan keutuhan UPSI sebagai peneraju kebitaraan pendidikan yang mampu bersaing dalam pelbagai kemahiran krusial seperti kemahiran perdebatan dalam bahasa asing.
Sebagai permulaan, kemenangan sebanyak dua pusingan di peringkat antarabangsa bukanlah suatu yang mudah namun berjaya dicapai pasukan UPSI. Pasukan UPSI pulang dengan pengalaman dan pelbagai strategi baru untuk mempersiapkan generasi pendebat seterusnya yang akan menjulang tinggi laungan “Debat Arab UPSI di Mata Dunia” sekaligus mampu bersaing di peringkat antarabangsa.