Oleh: Muhammad Afizi Zazani Muddin
7 Jun 2024
Tanjong Malim: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sidang 2023/2024 telah menganjurkan sebuah himpunan solidariti, “Himpunan Solidariti Mahasiswa UPSI Bersama Palestin,” yang berlangsung di perkarangan Pusat Islam UPSI. Himpunan ini dihadiri kira-kira 300 orang pelajar UPSI yang mengenakan pakaian bertema putih sebagai simbol sokongan kepada sahabat di Palestin.
Penganjuran himpunan ini selari dengan seruan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang menyeru semua IPTA/S di seluruh Malaysia untuk turun bersolidariti sebagai isyarat kepada dunia bahawa mahasiswa di Malaysia tidak pernah berdiam diri mahupun tidak peduli akan nasib sahabat-sahabat di Palestin.
Salah seorang jurucakap yang menyampaikan pidato semasa himpunan, Sufian daripada Al-Mursyidin Club UPSI, menyatakan bahawa himpunan solidariti ini merupakan salah satu jihad mahasiswa dalam menegakkan syiar Islam di dunia. “Sebagai mahasiswa yang cinta akan keamanan, wajiblah kita mendokong dan menyokong apa jua bentuk aktiviti dan program yang membawa kepada keamanan, kemakmuran, dan kesentosaan,” katanya.x
Himpunan Solidariti Mahasiswa UPSI Bersama Palestin adalah sebuah inisiatif MPP UPSI untuk menuntut mahasiswa sentiasa mendoakan kebaikan, kemudahan, dan ketenangan kepada sahabat-sahabat di Palestin yang kini hampir setahun ditimpa musibah. MPP UPSI juga menyeru agar mahasiswa terus menanam rasa cinta, rasa ihsan, dan menyalurkan sumbangan kepada rakyat Palestin melalui agensi-agensi berdaftar.
Turut hadir dalam himpunan ini adalah seorang pelajar PhD dari Fakulti Seni Kelestarian Industri Kreatif (FSKIK), Saudara Akram Alloh yang berasal dari Gaza. Dalam ucapannya, beliau amat berterima kasih atas penganjuran himpunan ini kerana masih ada kumpulan manusia yang peduli akan nasib bumi Palestin. Mahasiswa UPSI turut bersimpati dengan apa yang telah terjadi di Palestin. Semoga himpunan ini membuka mata lebih ramai mahasiswa untuk terus cakna dengan isu dan tragedi yang berlaku di Palestin.
Program Himpunan Solidariti Mahasiswa UPSI Bersama Palestin ini memberikan impak yang besar kerana di akhir himpunan, mahasiswa/i UPSI dapat menunjukkan kesatuan mereka yang tidak terhingga dan terus menerus bersolidariti bagi memastikan bahawa Palestin tidak berseorangan. Memetik firman Allah SWT daripada Surah As-Saff ayat ke-4, “Sesungguhnya Allah sangat mengasihi hamba-hamba-Nya yang berjuang di jalan-Nya seperti satu barisan teratur bagaikan bangunan yang kukuh.”
Semoga perjuangan dan usaha mahasiswa/i UPSI dalam membela kemerdekaan Palestin ini sentiasa diredhai oleh Allah SWT.