Oleh: Muhammad Hafizudin
10 Jun 2024
Tanjong Malim: Kursus Pemantapan Organisasi Pengerusi Unit-Unit Kokurikulum Sekolah Menengah sekitar Daerah Muallim 2024 telah berlangsung pada 18 Mei 2024 di Auditorium Utama Kampus Sultan Abdul Jalil, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Kursus ini dianjurkan oleh Unit Kokurikulum SMK Khir Johari dengan kerjasama Pusat Alumni UPSI, Sahabat Alumni Mahasiswa, dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPSI. Antara sekolah yang terlibat ialah SMK Khir Johari, SMK Methodist, SMK Katholik, SMK Proton City, SMK Bandar Behrang 2020, SMK Slim, SMK Dato’ Zulkifli Muhammad, dan SMK Agama Slim River.
Kursus ini bertujuan meningkatkan nilai jati diri dan keyakinan di kalangan murid dalam proses capahan ilmu dan kemahiran serta memantapkan mutu pengurusan dan kepimpinan di kalangan pelajar sekolah. Selain itu, kursus ini juga menerapkan gerak kerja berpasukan, bertoleransi, dan kesepaduan antara pelajar dan guru. Lantaran itu, ia juga dapat membina hubungan silaturahim dan semangat kerjasama antara guru dan pelajar dalam melaksanakan tugasan berkumpulan.
Kursus yang melibatkan 300 pelajar ini berlangsung selama 10 jam dan telah disampaikan oleh Penolong Kanan Kokurikulum SMK Khir Johari, Puan Arne Suzila, bersama Penolong Kanan Kokurikulum SMK Methodist, Puan Mardiana. Mereka merupakan Alumni Anak Kandung Suluh Budiman era UPSI. Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Pembangunan Murid) Pejabat Pendidikan Daerah Muallim, Encik Faizal Bin Omar, bersama Pengarah Pusat Alumni, Dr. Siti Hartini Bin Azmi, yang telah menyempurnakan majlis penyampaian sijil dan perasmian penutup kursus ini.
Program ini turut dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti berkumpulan yang dikendalikan oleh Sahabat Alumni Mahasiswa (SAM), UPSI. Aktiviti-aktiviti ini bertujuan meningkatkan kemahiran pemikiran kritis dan kemahiran penyelesaian masalah dalam kumpulan kepada pelajar.
Semoga segala usaha, perancangan, dan perkongsian yang diberikan dapat meneruskan jalinan kerjasama Pusat Alumni UPSI bersama komuniti Muallim. Pihak Pusat Alumni juga mengucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan dan penglibatan sekolah menengah sekitar Muallim. Semoga kursus ini dapat melahirkan generasi insan yang cemerlang dan terus berbakti kepada bangsa dan negara.