Oleh: Mohd Fahmi Mohd Yunus & Elvienie Petrus
Tanjong Malim – Layar Seni, satu takrifan yang menggambarkan perjalanan sebuah seni merentas setiap benua di muka bumi. Setiap seni budaya yang diamalkan di sesebuah daerah atau negeri dikembangkan dan menjadi satu pegangan tradisi zaman-berzaman. Namun era silih berganti, kecepatan teknologi seakan membunuh tradisi dan tidak salah rasanya untuk dikatakan bahawa semakin ramai generasi masa kini tidak mengenal budaya masyarakat sendiri.
Melihat kepada kebimbangan tersebut Pusat Kebudayaan UPSI dan Institut Seni Indonesia Yogyakarta (ISI Yogyakarta) bekerjasama dalam menjayakan sebuah program silang budaya iaitu Layar Seni @Bitara Malaysia-Indonesia 2024. Program yang berlangsung dari 29 Mei hingga 1 Jun 2024 ini merangkumi pelbagai aktiviti melestarikan seni budaya dua buah negara iaitu Malaysia dan Indonesia dengan pengisian Bengkel Seni Visual, Bengkel Seni Tari dan Bengkel Catan Batik yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak.
Perasmian pembukaan Layar Seni @Bitara Malaysia-Indonesia 2024 diadakan pada 29 Mei 2024 sebelah pagi oleh YBrs. Dr. Norzuraina Mohd Nor Pengarah Pusat Kebudayaan UPSI dan YBrs. Dr.Yulriawan Dafri.M. Hum Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa Fakulti Seni Visual ISI Yogyakarta. Bengkel-bengkel yang dirancang pula dilaksanakan pada sebelah petang melibatkan penyertaan 231 orang peserta. Penyertaan seramai 68 peserta untuk Bengkel Visual Design, dihoskan oleh Dr.Fareez bin Vincent Amos @ Mohd Fadly bersama tiga panel daripada ISI Yogyakarta iaitu Drs. Y Subawa, M.SN, En.Aruman dan En.Edy. Manakala, panel mewakili UPSI ialah Prof. Madya Ts. Dr. Muhammad Zaffwan bin Idris daripada Fakulti Seni, Kelestarian dan Industrial Kreatif. Seterusnya, Bengkel Catan Batik dikendalikan oleh En. Aruman melibatkan seramai 95 peserta dan Bengkel Seni Tari, dikendalikan oleh Drs. Y Subawa melibatkan seramai 68 peserta.
Kemuncak Layar Seni @Bitara Malaysia-Indonesia 2024 adalah pada 31 Mei 2024, bertempat di Pentas Utama World Trade Centre, Kuala Lumpur iaitu Mini Konsert Layar Seni @Bitara Malaysia-Indonesia. Konsert ini menampilkan persembahan-persembahan menarik daripada YBhg. Brig. Jen. Dato’ Dr. Mohd Radzi bin Haji Abdul Hamid , Imran Abdullah, kumpulan penari dari ISI Yogyakarta, Kumpulan Destar Limar dan Kumpulan The Pegawai Band serta pelajar-pelajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI.
Konsert dimulakan dengan persembahan istimewa daripada YBhg. Brig. Jen. Dato’ Dr. Mohd Radzi bin Haji Abdul Hamid iaitu deklamasi puisi bertajuk “Mengapa Palestin dari “Binocular” Pos Kawalan Sempadan No.8” nukilan beliau sendiri.
Persembahan kedua adalah persembahan tarian daripada ISI Yogyakarta, menampilkan penari-penari hebat dengan gerakan bertenaga dan dinamik, membawakan tarian “Karmapala” sehingga berjaya memukau penonton yang hadir. Persembahan diteruskan dengan persembahan syair yang didendangkan oleh Imran Abdullah, bertajuk “Syair Syapen Semangat Perpaduan”. Mini konsert Layar Seni@Bitara Malaysia-Indonesia juga membawakan kumpulan penari Destar Limar, mempersembahkan tarian Inang dan Joget Cinta Sayang.
Persembahan penutup dimeriahkan dengan persembahan ronggeng iaitu kolaborasi antara kumpulan penari Destar Limar UPSI Dan ISI Yogyakarta serta iringan muzik dan nyanyian oleh kumpulan The Pegawai Band bersama pelajar-pelajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI.