Oleh: Dr. Nurul Syafiqah Yap Abdullah, Dr. Izan Roshawaty Mustapa dan Dr. Nor Suriya Abd Karim
12 Jun 2024
Klang: Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) menerima mandat jemputan untuk bersama-sama menjayakan pameran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sempena Minggu STEM yang berlangsung pada 10-14 Jun 2024 bertempat di SMK Bandar Baru Sultan Suleiman, Klang.
Program ini adalah hasil titik usaha Pengarah Program Allahyarhamah Prof. Madya Dr. Nor Zila Abd. Hamid dan UPSI MySTEM Ambassador yang diketuai oleh Saudara Mifthatul Anam Ahmad Yani, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dengan Pendidikan.
Program Pameran dan Aktiviti STEM FSM 2024 @ Minggu STEM SMK Bandar Baru Sultan Suleiman ini adalah program jelajah pensyarah dan pelajar FSM ke SMK Bandar Baru Sultan Suleiman, Klang dalam usaha mengetengahkan dan meningkatkan minat murid terhadap bidang STEM.
Program ini melibatkan dua fasa pemindahan ilmu iaitu fasa pertama pemindahan ilmu daripada pensyarah UPSI kepada fasilitator pelajar UPSI, diikuti dengan fasa kedua pemindahan ilmu daripada fasilitator pelajar UPSI kepada komuniti SMK Bandar Baru Sultan Suleiman, Klang.
Program ini berjaya mendapat sambutan meriah daripada 1,003 orang pelajar dari Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 5. Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah EsCup, Centripetal Force, EquaMe, TanGram, VR STEM, Pemikiran Kritikal Terpantas (PKT), dan DIY Holo. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah berteraskan STEM dengan tujuan utama pelaksanaannya adalah untuk meningkatkan minat murid terhadap STEM dan seterusnya menyuburkan kemenjadian diri murid melalui aktiviti yang dijalankan ini.
Turut menjayakan program ini adalah Penolong Kanan Pentadbiran Faiezah Jemali, Guru Kanan Mata Pelajaran Sains dan Matematik Rafiuddin Al-Farabi Roosli, Setiausaha STEM Nur Anati Adnan, Guru Biologi Nor Shafiza Abdullah, dan Guru Sains Muhammad Azri Syafiq Ahmad Pouzi serta pihak FSM yang terdiri daripada 10 orang fasilitator dari MySTEM Ambassador serta Dr. Izan Roshawaty Mustapa dan Dr. Nurul Syafiqah Yap Abdullah selaku wakil pensyarah daripada FSM, UPSI. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan lagi di masa akan datang bagi memupuk lagi semangat dan minat murid-murid ke arah bidang STEM selari dengan aspirasi negara.