Tanjong Malim, 19 Jun 2024: Program Ibadah Korban dan Aqiqah peringkat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) anjuran Pusat Islam dengan kerjasama Masjid Al-Mursyidin UPSI mendapat sambutan menggalakkan dalam kakitangan dan mahasiswa UPSI.
Sebanyak 12 ekor lembu ditumbangkan dengan 9 ekor daripadanya merupakan bahagian korban dan aqiqah membabitkan seramai 63 orang peserta manakala 2 ekor lembu sumbangan Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat dan Sedekah (WEZAS UPSI) serta seekor daripada RHB Bank dimanfaatkan bagi penyediaan juadah makan tengah hari serta agihan fakir miskin dan asnaf di sekitar Muallim.
Pada tahun ini, para peserta Ibadah Korban juga turut melibatkan barisan Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) yang turut memberikan sokongan serta mendaftar bahagian yang diinspirasikan oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff. Program ini juga turut menerima kehadiran wakil dari pihak RHB Bank, Ahmad Rizal dan Fakhurrazi selaku pemberi sumbangan lembu korban kepada pihak UPSI. Turut hadir Pengarah WEZAS, Prof. Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Abd Latif yang turut membantu proses sembelihan.






Program yang sudah lebih 10 tahun diadakan itu melibatkan ramai sukarelawan yang membantu menguruskan perjalanan program dan proses agihan daging lembu. Sesi proses gotong royong dan pelaksanaan Ibadah Korban & Aqiqah turut mendapat kerjasama dari Bahagian Pengangkutan, Pusat Teknologi Maklumat & Komunikasi (ICT), Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta Benda (JPPHB), Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Persatuan Wanita UPSI (PEWARIS), Bahagian Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dalam menjayakan setiap tugasan melibatkan tugasan menumbang, melapah dan memotong daging untuk agihan serta tugasan memasak.
Sesi penyerahan daging pada para peserta juga telah dilaksanakan sebelum sesi jamuan makan tengah hari. Penyampaian agihan daging pada peserta juga turut dilaksanakan oleh Prof. Datuk Dr. Md Amin bersama barisan JKPU serta wakil dari pihak RHB dan WEZAS.
Pusat Islam UPSI mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Program Ibadah Korban & Aqiqah pada tahun ini semoga dengan setiap usaha yang kita laksanakan sama ada melalui wang ringgit, tenaga mendapat ganjaran daripada Allah SWT sesuai dengan maksud sebenar pengorbanan bersempena Hari Raya Aidiladha yang disambut pada setiap tahun.