Oleh: Najihah Mohd Syazili
15 Jun 2024
Tanjong Malim: Kelab Al-Mursyidin (AMC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melaksanakan Bengkel Protokol dan Pengacaraan Majlis ‘Lead Like a Pro’ di bawah penganjuran Exco Akademik dan Kajian AMC dengan kerjasama Pusat Islam UPSI.
Bengkel ini diadakan menggunakan platform Google Meet dan siaran langsung Facebook. Program ini dihadiri hampir 200 orang mahasiswa dengan tujuan memberikan pendedahan dan pengetahuan asas tentang protokol rasmi dan etika sosial kepada para mahasiswa, terutamanya yang terlibat dalam acara-acara rasmi universiti.
Bengkel yang berlangsung pada hari Sabtu ini bertujuan meningkatkan pengetahuan mahasiswa berkaitan pengurusan majlis atau program yang baik dan tersusun. Ia juga memberikan pemahaman yang mendalam tentang struktur, format, dan isi kandungan protokol yang sesuai serta membantu pelajar dalam mengatur sesuatu majlis pada masa akan datang.
Program dipacu oleh seorang penyampai berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM), En Anas Muhammad Farihin Othman. Sebelum majlis berakhir, sesi soal jawab diadakan untuk memberi peluang kepada peserta bertanyakan soalan mengenai asas-asas protokol dan pengacaraan majlis.
Penyertaan memberangsangkan oleh mahasiswa UPSI dalam bengkel ini membuktikan kepentingan dan manfaat program ini dalam menyalurkan maklumat dan kemahiran dalam mengendalikan sesuatu majlis. Penguasaan dalam bidang protokol ini sangat penting untuk memastikan kelancaran dan kejayaan sesuatu majlis, tidak kira sama ada di peringkat sekolah, jabatan, ataupun di peringkat kebangsaan.
Secara keseluruhan, Bengkel Protokol kepada Mahasiswa ini berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk memberi lebih banyak peluang kepada mahasiswa mempelajari kemahiran yang penting dalam mengendalikan majlis rasmi dan meningkatkan etika sosial dalam diri masing-masing.