Oleh: Muhammad Nor Afzan Emran
20 Jun 2024
Perlis, 5 Jun 2024: Program Kayuhan Santuni Asnaf bersama Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, diadakan sempena Mesyuarat dan Seminar Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (JAHEIS) dan International Outreach Programme Satun, Thailand.
Acara ini melibatkan empat warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI): Pengarah Pusat Islam UPSI, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Rahman; Pustakawan Kanan PTB UPSI yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Mursyidin UPSI, YM Dr. Raja Shalaby Raja Hassan; Naib Yang Di-Pertua MPP UPSI sidang 2023/2024, Tengku Farhan Haqif Tengku Mohd Zaki; dan Naib Yang Di-Pertua Kelab Sahabat Ulul Albab UPSI sidang 2023/2024, Muhammad Nor Afzan Emran.
Program yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Perlis (MAIPS) ini memberi impak positif terhadap kecekapan pengurusan hal ehwal Islam di institusi pengajian tinggi Malaysia serta memberikan nilai tambah kepada peserta.
Seminar Pengurusan Hal Ehwal Islam IPT (SePHEIPT) ini melibatkan anggaran 100 peserta dari pelbagai institusi pengajian tinggi di Malaysia. Seminar ini turut dihadiri pengarah-pengarah Pusat Islam IPT dari universiti seperti Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), dan banyak lagi.
Seminar ini membincangkan beberapa masalah yang sering berlaku dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi serta hal ehwal pengurusan pusat Islam yang berkesan di setiap institusi. Peserta didedahkan dengan pembentangan kertas kerja oleh Dr. Tengku Kastriafuddin Shah Tengku Yaakob bertajuk “AI dan Kreativiti: Etika Menurut Perspektif Islam” dan Ustaz Shahrulnizam Akhsan dengan tajuk “Pertukaran Pelantikan Skim Perkhidmatan Sosial: Pengalaman UiTM”. Pengarah Pusat Islam UPSI, Ustaz Tarmizi, turut menyertai mesyuarat Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (JAHEIS) yang berlangsung di bilik mesyuarat bangunan Canselori UniMAP.
Kayuhan Santuni Asnaf bersama Tuanku Pemangku Raja Perlis melibatkan kayuhan dari satu rumah asnaf ke rumah asnaf yang lain. Sebanyak tiga buah rumah asnaf disantuni, dan beberapa barang sumbangan diagihkan bersama, termasuk barangan dapur dan wang tunai hasil sumbangan warga Perlis melalui Majlis Agama Islam Perlis.
Tuanku bertitah agar masyarakat muda, khususnya pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi di Malaysia, memperbanyakkan penyertaan dalam program-program menyantuni asnaf untuk memahami kehidupan dunia yang sebenar. Kayuhan ini juga dapat mengeratkan lagi hubungan antara pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi dengan staf dan pensyarah dari pelbagai institusi di Malaysia.
Diharapkan dengan program-program sebegini, nilai-nilai Islam dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi dapat diperkukuhkan dan pengurusan hal ehwal Islam di setiap pusat Islam IPT menjadi lebih cekap dan hebat.