Oleh: Nurarisya, Hafizul Aiman, Nur Rafiuddin, Nur Alfirah, Nur Shamimi Athilah
19 Jun 2024

Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (MMKAB) sidang 2023/2024 dengan kerjasama Persatuan Perseni, Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS), dan Himpunan Mahasiswa Anak Kelantan (HIMSAK) mengadakan Program Wonderful Things in Batik.

Program ini dianjurkan oleh Exco Kesenian dan Kebudayaan Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (MMKAB) berlansung di Pusat Aktiviti Pelajar Kolej Aminuddin Bakidan disertai oleh 73 orang peserta terdiri daripada pelajar UPSI.

Program ini merupakan satu inisiatif yang menarik dan bermanfaat dalam memperkenalkan serta memelihara seni tradisional batik di mana peserta diajar teknik mencanting dari proses awal hingga ke hasil akhir yang indah.

Sesi pengenalan Batik bersama Encik Azhar sebelum menjalankan aktiviti mewarna batik bersama peserta.

Program ini menampilkan seorang tukang mahir dalam dunia mencanting batik iaitu Pensyarah Pereka (Seni) Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK), Encik Azhar.

Menurut Encik Azhar, “Batik merupakan warisan budaya yang berharga dan perlu dipelihara untuk generasi akan datang, sebarang usaha melestarikan budaya ini sangatlah berharga bagi memastikan budaya bangsa kita ini tidak lapuk dek zaman.”

Pengarah Program, Mike Carlos Kunjan Joline berkata “Program mencanting batik ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkenalkan seni batik kepada generasi muda, tetapi juga untuk memupuk rasa cinta terhadap warisan budaya negara.”

Sesi penerangan kaedah mewarna kain batik daripada Encik Azhar kepada peserta.

Program ini mampu memberi impak besar kepada mahasiswa dari pelbagai aspek. Antaranya, ia mampu meningkatkan penghargaan mereka terhadap warisan budaya negara. Melalui penyertaan program ini, mahasiswa akan lebih menghargai seni batik dan memahami betapa pentingnya memelihara dan mempromosikan seni tradisional ini. Mereka akan menyedari nilai artistik dan budaya yang terkandung dalam setiap karya batik, dan bagaimana seni ini mencerminkan identiti dan sejarah masyarakat Malaysia.

Kesimpulannya, program Wonderful Things in Batik berpotensi memberikan impak positif yang luas kepada mahasiswa, bukan sahaja dalam aspek akademik dan kemahiran, tetapi juga dalam pembangunan diri dan kesedaran budaya.

Program ini diharapkan akan terus mendapat sokongan dan penyertaan yang aktif dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi untuk memastikan seni batik terus hidup dan berkembang. Dengan komitmen yang berterusan, seni batik dapat terus dihargai dan diwarisi oleh generasi akan datang, menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan warisan budaya yang unik dan bernilai tinggi.

Sesi mewarna karya batik oleh para peserta dipantau oleh urus setia program.