Tanjong Malim: Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan Program FPM FEST bertempat di perkarangan Blok 8 dan Blok 9, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS).
Program FPM FEST ini bertujuan mempromosikan dan meraikan FPM serta meningkatkan kerjasama antara kakitangan dengan mahasiswa fakulti. Program ini berjaya dilaksanakan dengan kolaborasi enam persatuan pelajar di bawah pengurusan fakulti dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
FPM FEST dirasmikan oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff dan turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dr. Abdul Rahim Razalli, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dr. Suriani Abu Bakar dan Dekan FPM Profesor Madya Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim. Pameran dari pihak PERKAMA International, BrainScience, Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB) serta jualan telah berjalan sepanjang program berlangsung.
FPM FEST diadakan bagi meraikan kakitangan dan semua persatuan di bawah pengurusan fakulti sekaligus memperkenalkan fakulti kepada orang ramai di samping mempromosikan program pengajian, kemudahan serta peluang yang tersedia di fakulti kepada seluruh mahasiswa FPM dan masyarakat setempat. Selain itu, FPM FEST memberi peluang kepada mahasiswa UPSI untuk memperkasa agenda keusahawanan, mengurus program, dan mengurus aktiviti yang berkesan serta memberi impak kepada peserta. Program ini juga mempamerkan inovasi dan pencapaian hasil mahasiswa FPM dari aspek akademik. FPM FEST diadakan bagi memupuk semangat kerjasama dalam kalangan warga fakulti.
Menurut Profesor Datuk Dr. Md Amin dalam ucapan perasmiannya, “Fakulti Pembangunan Manusia bukan sahaja fokus kepada akademik pelajar tetapi juga menganjurkan pelbagai program yang memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan pelbagai kemahiran. Para pelajar harus menyertai program-program yang dianjurkan bagi meningkatkan pengalaman.”
Tambah beliau lagi, “Program ini juga usaha yang baik dalam membina jaringan di antara mahasiswa dan agensi-agensi luar yang terlibat dalam FPM FEST. Saya harap melalui program ini semua pelajar yang terlibat dapat meningkatkan kemahiran dalam mengurus sesuatu program dan meningkatkan kemahiran insaniah. Program ini juga merupakan satu inisiatif yang baik bagi meningkatkan adab dan sikap yang positif dalam kalangan mahasiswa.”
Sebanyak tujuh program, dua peluncuran dan dua agenda penyampaian berjaya dilaksanakan di FPM FEST seperti Psychic Room dan Forum Kesihatan Mental anjuran Persatuan Psikologi, Program Fleksibiliti Kerjaya & Kesihatan Mental dan pengucapan awam anjuran Persatuan Bimbingan dan Kaunseling, SPED Tour anjuran Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas, Program Kidzoonia anjuran Persatuan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Program Karaoke dan pelbagai aktiviti menarik untuk kanak-kanak dan dewasa. Antara peluncuran yang terlibat dalam FPM FEST adalah Best FPM: Buddies FPM dan Kempen 5S (Senyum, Salam, Sapa, Sopan, Santun).
Pada hari kedua FPM FEST, pihak pengurusan fakulti memberi Biasiswa Bitara dan menyampaikan hadiah pemenang pertandingan logo dan nama bilik persatuan. FPM FEST juga menampilkan gerai-gerai jualan dan pameran oleh pelajar dan usahawan tempatan. Semua pameran menampilkan projek-projek penyelidikan terkini oleh mahasiswa FPM dan para pensyarah. Semua peserta diberi peluang kepada pengunjung untuk melihat hasil kerja dan inovasi dalam bidang pembangunan manusia.
Program sebegini harus diteruskan lagi pada masa akan datang bagi meraikan kakitangan dan mahasiswa serta memberikan manfaat dan motivasi kepada semua pelajar. Program yang mencapai objektif berjaya dilaksanakan dengan kerjasama pelajar dan para kakitangan FPM.