Oleh: Aeron Winter Jackson, Nuratirah Mokhtar, Milia Dafinah Aina
19 Jun 2024
Tanjong Malim: Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (MMKAB) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Sidang 2023/2024 mengadakan program ‘Future Leadership Forum: From Zero to Hero’ menerusi platform Google Meet dan siaran langsung melalui Facebook.
Program Future Leadership Forum: From Zero to Hero ini melibatkan penyertaan mahasiswa dan mahasiswi UPSI serta universiti awam lain seperti Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UITM), Universiti Teknikal Malaysia (UTEM), CIAST Shah Alam, dan Jabatan Agama Islam (JAIS) dengan jumlah penyertaan seramai 1,200 orang termasuk ahli jawatankuasa pelaksana program.
Objektif program ini adalah untuk memberi perkongsian dan pendedahan kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi universiti yang bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan. Selain itu, program ini bertujuan mengeratkan jalinan hubungan di antara mahasiswa dan mahasiswi di universit awam Malaysia.
Program ini dibahagikan kepada dua sesi, iaitu sesi pertama adalah forum di mana para panel berdiskusi tentang kepimpinan, manakala sesi kedua diakhiri dengan aktiviti soal jawab dan kuiz.
Program ini dipimpin oleh Naib Yang Di-Pertua Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki, Saudara Mohamad Aniq Aieman berserta beberapa panel jemputan yang terdiri daripada pelajar UPSI, Saudara Muhammad Isyraf Firdaus dan beberapa pelajar dari universiti awam lain seperti Geliman Peter dari UTHM, Mohd Faizman dari UNIMAS, dan Vitus Ajai Clement dari UMS.
Program ini mendapat tajaan daripada Sekretariat Rakan Muda UPSI berupa hadiah sebanyak 10 unit. Penyampaian hadiah ini diserahkan kepada 10 peserta yang berjaya menjawab kuiz dengan pantas dan tepat. Kuiz ini merupakan satu inisiatif yang baik untuk mendorong pemahaman dan penghayatan peserta dalam konteks forum yang mengutarakan nilai-nilai kepimpinan dan sahsiah diri sebagai seorang pemimpin pada masa hadapan.
Semoga pelaksanaan program ini menjadi simbolik kepada keakraban hubungan antara UPSI dengan universiti awam yang lain. Program ini bukan sahaja meningkatkan semangat kepimpinan dalam kalangan peserta tetapi juga memberi impak positif kepada masyarakat dan negara serta memperkukuhkan lagi jalinan sosial sesama manusia.