Tanjung Malim, 9 Jun 2024 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di bawah kokurikulum berkredit telah mencipta sejarah baru dengan penganjuran kayuhan kayak 24 jam yang berlangsung dari 7 hingga 8 Jun lalu di Tasik Marina UPSI. Acara ini mendapat sambutan hangat daripada warga kampus dan komuniti setempat yang turut hadir untuk memberikan sokongan.

Kayuhan kayak ini melibatkan pelajar dari kursus kokurikulum berkredit, kokurikulum kayak yang terdiri daripada 80 pelajar dari kelas A dan B bersama Tenaga Pengajar, Ahmad Aqil Mohammad Jahizi dan dibantu instuktor yang berganding bahu mengayuh tanpa henti selama 24 jam. Acara ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan mental para pelajar, tetapi juga memupuk semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan warga universiti.

Perasmian acara ini telah dilakukan oleh Pengarah Pusat Kokurikulum, Profesor Madya Dr. Mazuki Mohd Yasim diiringi Timbalan Pengarah dan Penyelaras Sukan, Permainan dan Rekreasi, Dr. Roznim Mohamad Rasli, Dr. Mon Redee Sut Txi bersama Penyelaras, Unit Badan Beruniform dan Penyelaras, Unit Persatuan, Seni dan Kebudayaan. Beliau menyatakan rasa bangganya terhadap semangat dan dedikasi para peserta. “Kayuhan Kayak 24 Jam ini bukan sahaja satu rekod yang membanggakan, tetapi juga simbol komitmen kami terhadap gaya hidup sihat dan aktif,” katanya.

Sepanjang acara berlangsung, seramai 10 orang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Malim turut bersama bagi menjayakan penganjuran. Selain itu, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan seperti pameran kesihatan, gerai makanan, dan permainan rekreasi yang memeriahkan suasana di sekitar Tasik Marina dan Kompleks Pusat Sukan UPSI. Acara ini juga berjaya menarik minat pelbagai pihak luar untuk menyaksikan dan menyertai aktiviti yang dijalankan.

Dengan kejayaan penganjuran Kayuhan Kayak 24 Jam ini, UPSI berharap dapat meneruskan tradisi ini sebagai acara tahunan yang lebih besar dan lebih meriah pada masa hadapan.