Tanjung Malim, 8 Jun 2024 – Majlis Perasmian Karnival Kokurikulum Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2024 telah berlangsung dengan meriah di Arena UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah. Majlis yang diadakan pada Sabtu lalu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Pera, Yang Berhormat Khairudin Abu Hanipah.

“Karnival Kokurikulum 2024 ini merupakan kesinambungan daripada karnival kokurikulum terdahulu yang diadakan setiap tahun. Ia bertujuan menghargai dan menyantuni para pelajar dan tenaga pengajar yang komited dalam usaha melahirkan graduan yang holistik dan berdaya saing,” ujar beliau.

Tambahnya, tahun ini karnival lebih meriah dengan penggabungan bersama Super UPSI 2024 yang bermatlamat mewujudkan jaringan dan hubungan kerjasama yang erat antara UPSI dan komuniti setempat. Bertemakan ‘Mahasiswa Holistik Pemacu Kemajuan Negara’, karnival ini menjadi platform untuk pengayaan diri pelajar dari sudut ilmu dan kemahiran, yang merupakan nilai tambah dalam menghadapi era globalisasi yang semakin mencabar.

Dalam ucapannya juga, Khairudin juga menekankan konsep BITARA (Bakat Unggul, Inovasi dan Penyelidikan, Transformasi Teknologi, Adab, Akhlak, Akademik, Revolusi Ekosistem, dan Adaptasi Global) selaras dengan Aspirasi Naib Canselor 2024, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff. Beliau menyatakan bahawa konsep ini juga mendokong gagasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di mana setiap mahasiswa dan akademia harus mampu ‘menggapai ke langit, mengakar di bumi’.

Majlis ini turut menyaksikan penyertaan seramai 6,128 mahasiswa yang terlibat dalam 61 kursus kokurikulum berkredit daripada tiga komponen utama iaitu Persatuan Seni dan Kebudayaan, Sukan Permainan dan Rekreasi dan Badan Beruniform. Penganjuran ini membuka peluang kepada pelajar mengendalikan program yang dirancang mengikut kursus masing-masing sekaligus dapat menonjolkan bakat terpendam pelajar. Karnival ini berlangsung dengan pengisian aktiviti seperti permainan, pertandingan, dan pameran. Secara tidak langsung, semua kursus ini berperanan dalam usaha melahirkan graduan yang memiliki modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

“Pusat Kokurikulum UPSI turut mengambil inisiatif menawarkan Kursus Kokurikulum Bitara kepada pelajar yang aktif di peringkat universiti, kebangsaan dan antarabangsa. Ini termasuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Mahasiswa Kolej (MMK), atlet dan aktivis seni budaya yang diberikan keistimewaan tidak perlu mengikuti kursus kokurikulum berkredit biasa,” jelasnya.

Beliau turut menekankan peranan Pusat Kokurikulum yang semakin berkembang dalam merancang kursus secara Micro-Credential bagi bidang rekreasi luar melalui Unit AURORA. Ini menunjukkan Pusat Kokurikulum berjaya mengukuhkan peranannya menjadi pemangkin kepada kelahiran mahasiswa holistik dan seterusnya menjadi mahasiswa kelas pertama yang dapat menyumbang kepada kelestarian dan pembangunan negara.

Khairudin dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para jemputan, warga UPSI, pelajar, dan komuniti sekitar Muallim yang meluangkan masa untuk memeriahkan Karnival Kokurikulum dan Super UPSI 2024 serta penghargaan kepada Pusat Kokurikulum UPSI dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Majlis perasmian ini diakhiri dengan sorakan semangat dan kegembiraan daripada semua hadirin, menandakan bermulanya Karnival Kokurikulum 2024 yang penuh dengan pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)