Oleh: Nuril Aqilah Binti Muhamad
18 Jun 2024
Tanjong Malim: Kelab Sahabat Ulul Albab dengan kerjasama Pusat Ulul Albab (PUA) mengadakan program Bicara Anak Muda bertajuk “Best Ke Jadi Dewasa?” merupakan platform yang menyediakan peluang bagi golongan muda untuk berkongsi pendapat, pengalaman, dan pandangan mereka mengenai peralihan dari zaman remaja ke zaman dewasa.
Program ini menampilkan dua panel dan seorang moderator. Panel pertama ialah Yang Dipertua Kelab Al Mursyidin (AMC), Meor Mohamad Fathullah Meor Abdul Razak, manakala panel kedua ialah seorang pelajar wakil Persatuan Tahfiz Qiraat, Muhammad Asyraf Ahmad. Moderator untuk program ini adalah Muhammad Aiman Fahim S. Fadhirllah Al Jupry yang merupakan Exco Latihan dan Perpaduan Kelab Sahabat Ulul Albab.
Menurut Pengarah Program Bicara Anak Muda, Nuril Aqilah Muhamad, program ini dilaksanakan bagi memberi input yang bermanfaat kepada semua mahasiswa dan mahasiswi tentang pengurusan masa yang baik, galakan terhadap aktiviti berpersatuan, bidang kepimpinan, cara untuk kekal istiqamah dalam melakukan sesuatu, dan pelbagai lagi dalam konsep yang lebih santai.
Forum “Bicara Anak Muda: Best Ke Jadi Dewasa?” ini bukan sahaja memberikan pandangan berharga kepada peserta tetapi juga membekalkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk menghadapi kehidupan dewasa dengan lebih yakin dan bersedia.
Program ini mendapat sambutan yang ramai melalui FB Live. Para peserta juga boleh menanyakan soalan pada ruangan Facebook Live Pusat Ulul Albab UPSI. Antara soalan yang ditanya adalah, “Adakah pemilihan kawan itu penting dalam menjadi seseorang pelajar yang cemerlang?” dan “Bagaimanakah seseorang mahasiswa menolak anasir yang boleh memundurkan diri mereka?” Perkara yang menarik dalam program ini adalah para peserta dapat mendengar pengalaman yang menarik dan hebat dari kedua-dua panel yang latar belakangnya berbeza.
Remaja harus menghadapi perubahan sosial, seperti beradaptasi dengan lingkungan yang lebih luas dan mengenal ramai orang, yang memerlukan mereka untuk memiliki keberanian dan kemampuan beradaptasi.
Setiap perkongsian daripada barisan panel di Bicara Anak Muda sangat terkesan dan terpahat dalam hati mahasiswa. Ini adalah kerana, di sebalik panel-panel menceritakan pengalaman masing-masing, terselit ilmu yang bermanfaat.