Oleh: Nurul Hidayah Zaidi
14 Jun 2024

Tanjong Malim: Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Kelab Al-Mursyidin (AMC) melaksanakan program Fiqh Nisa’ siri 1 2024 dengan tajuk “Kalam Buat An-Nisa’: Wanita dan Al-Quran” di Bilik Seminar Pusat Islam, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.

Pengisian program ini disampaikan oleh Pengasas Akademi Diwan Ar-Rital, Dr. Ustazah Haniah Salwana Rahim yang juga merupakan seorang guru Al-Quran antarabangsa. Program ini turut dihadiri oleh Pembantu Hal Ehwal Islam Pusat Islam UPSI, Ustazah Noorheli Ayub. Program ini merupakan salah satu pendekatan buat mahasiswi, memberi ruang kepada peserta untuk mendalami dan menghayati bagaimana Islam memandang dan mengangkat martabat wanita.

Menurut Nurul Hasanah Shahida binti Azhar, salah seorang peserta, “Perkongsian yang disampaikan sangat menarik dan sangat berharga ilmunya. Kaedah penyampaian daripada panel bukan sahaja memberi ilmu tentang wanita dan Al-Quran, malah para peserta dapat belajar sedikit sebanyak bahasa Arab.”

Diharapkan melalui program seperti ini, mahasiswi dan wanita khususnya dapat lebih menghargai dan meningkatkan kredibiliti diri walau di mana pun posisinya, baik di samping keluarga atau masyarakat, sesuai dengan garis panduan yang telah Islam syariatkan. Seperti kata pepatah, “Tangan yang menghayun buaian, boleh menggoncang dunia,” dan sesungguhnya wanita adalah madrasah bagi ummah, menunjukkan betapa pentingnya ilmu, akhlak, dan sahsiah yang perlu ada dalam diri seorang wanita.