Oleh: Muhammad Sufian
16 Jun 2024
Tanjong Malim: Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Lajnah Tarbiah dan Imarah Masjid Kelab Al-Mursyidin (AMC) berjaya menganjurkan Kursus Persediaan Ibadah Korban dan Akikah (Teori dan Praktikal) yang diadakan di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan warga khususnya pelajar UPSI.
Kursus ini dipimpin oleh Penolong Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri Perak, Ustaz Azrul Hisyam Abdul Rahim yang berkongsi pengetahuan mendalam mengenai kaedah sempurna amalan sembelihan mengikut syariat Islam.
Program yang berlangsung pada hari Ahad bertujuan untuk menarik minat pelajar kepada ilmu kemahiran yang berguna dalam masyarakat, melahirkan mahasiswa yang berani tampil ke hadapan dengan ilmu yang diperoleh serta mengeratkan ukhuwah sesama Muslim antara pelajar dan kakitangan universiti.
Program ini diadakan untuk menjelaskan kaedah yang betul dalam amalan sembelihan mengikut syariat Islam dan memberikan pemahaman maksud berkorban kepada kakitangan dan mahasiswa UPSI, membolehkan mereka berdepan dengan cabaran sebagai mukmin sejati dalam era modenisasi.
Kursus ini juga menggalakkan pendekatan dakwah sepanjang hayat, dengan matlamat mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan warga UPSI serta membudayakan cinta ilmu dalam kalangan mahasiswa.
Acara bermula dengan sesi teori sembelihan dan praktikal di dapur Masjid Al-Mursyidin dan diikuti dengan praktikal sembelihan di bawah bimbingan Ustaz Azrul Hisyam. Seterusnya, sesi teori dan perbincangan yang lebih mendalam dan terperinci mengenai sembelihan dijelaskan hasil daripada latihan praktikal dilakukan di bilik seminar Pusat Islam.
Selain menyediakan platform untuk perbincangan dan perkongsian ilmiah, kursus ini juga berupaya mengimarahkan majlis ilmu sepanjang hayat untuk kepentingan ummah. Dengan penyertaan yang memberangsangkan, diharapkan program ini dapat memberikan manfaat besar kepada semua peserta dan memupuk semangat persaudaraan serta kecintaan kepada ilmu dalam kalangan warga UPSI.
Penyertaan yang memberangsangkan dalam program ini menunjukkan bahawa mahasiswa dan mahasiswi UPSI sentiasa dahagakan ilmu dan bersedia untuk memanfaatkan setiap peluang yang diberikan untuk memperkaya diri dengan pengetahuan yang berguna.
Dengan adanya program seperti ini, UPSI terus komited dalam memastikan mahasiswa tidak hanya cemerlang dalam akademik, tetapi juga mempunyai kefahaman mendalam tentang amalan agama dan kemahiran praktikal yang penting dalam kehidupan seharian.