Disediakan oleh: Florence Perik
20 Jun 2024

Trolak Utara: Sempena menyambut ketibaan Hari Raya Aidiladha, adalah lebih manis bagi sesama insan untuk lebih bermurah hati dalam berkongsi rezeki dan menghulur tangan bagi mereka yang memerlukan. Salah satu cara yang boleh dilakukan untuk menyumbang kebahagiaan kepada seseorang adalah dengan mempergiat aktiviti kesukarelawanan kemanusiaan yang mampu memberi manfaat kepada pelbagai pihak.

Exco Penginapan dan Kemasyarakatan, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar, dengan kerjasama Masjid Jamek Kampung Trolak Utara dan Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya (UM) telah mengadakan program Sinergi Kemanusiaan: Titipan Adha bertempat di Kampung Trolak Utara, Perak.

Program ini bertujuan untuk menyantuni golongan asnaf Kampung Trolak dari segi barangan keperluan untuk menyambut hari raya dan mengeratkan silaturahim antara penduduk kampung dengan mahasiswa. Program ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan tentang kerjaya kepada golongan remaja serta mendidik kanak-kanak tentang kebersihan diri.

Seramai 67 orang mahasiswa yang terdiri daripada 25 ahli jawatankuasa, 25 sukarelawan UPSI dan 17 sukarelawan UM terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini. Melalui program ini, mahasiswa dapat memperoleh impak dalam pembentukan insaniah dan menambah pengalaman.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah agihan bantuan rumah ke rumah, “Talk with You” untuk para remaja, aktiviti bersama kanak-kanak tadika, merewang, dan kursus penyembelihan ayam. Selain itu, terdapat juga aktiviti gotong-royong di sekitar kawasan kampung dan melukis mural yang menambah keceriaan kampung tersebut. Penduduk kampung mengungkapkan kegembiraan dan kepuasan setelah melihat hasil mural yang menghiasi dinding balai.

Menurut Pengetua Kolej Ungku Omar, Profesor Madya Dr. Nizam Nasrifan “Program begini sememangnya wajar untuk diteruskan kerana bukan sahaja boleh menambah kenalan dan jalinan erat, malah boleh memberi pelbagai pengalaman dan pengetahuan yang berguna untuk mahasiswa kelak. Kita hendaklah mewujudkan sifat empati dalam diri. Jadilah pelita dalam kehidupan seseorang. Sekecil manapun bantuan, niat ikhlas ingin membantu itu yang penting.”

“Aktiviti ini merupakan aktiviti kesukarelawanan yang pertama pernah saya ikuti. Saya berasa gembira kerana dapat mengenali ramai penduduk kampung sini yang peramah. Saya juga memperoleh pengalaman bermakna ketika mengunjungi rumah ke rumah untuk mengagih bantuan. Ini merupakan pengalaman terbaik yang akan saya kenang,” kata Syrelyn Misol, salah seorang sukarelawan.

Walaupun letih, mahasiswa berasa bangga setelah menabur bakti di Kampung Trolak dan berterima kasih kerana kehadiran mereka disambut baik oleh warga Kampung Trolak. Bagai aur dengan tebing, semua pihak yang terlibat berganding bahu dalam menjayakan program ini.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)