Oleh: Aina Farisya Norazizi
Tanjong Malim, 21 Jun 2024- Persatuan Multimedia Kreatif, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FTMK) mengadakan program ‘UPSIxMETA: There’s A Future For You’ pada bertempat di Makmal Mega, Aras 4, Bangunan E-Learning, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program ini merupakan kesinambungan daripada slot motivasi dalam program Skillscape: The Talent Expedition yang lalu dengan kerjasama Persatuan Teknologi Maklumat bertempat di Sekolah Menengah Agama Al-Maidah Addiniah Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang.
Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar sekolah menengah suasana pembelajaran di UPSI sekaligus memperkenalkan FKMT.
Penasihat program yang juga Penasihat Persatuan Multimedia Kreatif, Dr. Ummu Husna Azizan sangat berharap agar program yang melibatkan penglibatan luar sebegini dapat dijalankan lebih giat lagi untuk memberi pendedahan dan menambah pengetahuan kepada bakal pelajar yang akan menyambung pengajian ke universiti.
Pengarah Program, Siti Raihana Jalaidi, menyatakan bahawa program ini bukan sekadar untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar sekolah menengah tentang suasana pembelajaran di UPSI, malah beliau berharap semua pelajar untuk menjadi lebih rajin serta menanam impian untuk melanjutkan Pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Dengan adanya program sebegini, sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat para pelajar untuk lebih berusaha untuk mencapai impian dan cita-cita mereka.
Para pelajar turut dibawa melawat ke Muzium Pendidikan Nasional (MPN) yang bertujuan memberi ilmu pengetahuan tentang khazanah yang ada di dalam muzium itu dan melihat pameran sejarah. Melalui lawatan ke muzium dapat memberi impak dan ilmu pengetahuan yang lebih luas kepada pelajar. Selepas itu, mereka dibawa melawat ke Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB) yang menjadi tarikan pelajar kerana terdapat pelbagai buku dan kemudahan yang yang terdapat di dalam perpustakaan.
Lawatan seterusnya lawatan ke Perpustakaan Digital UPSI dan Pusat Sukan di Kampus Sultan Azlan Shah. Pelajar berpeluang melihat segala kemudahan pinjaman buku-buku digital yang telah disediakan dan dapat mengetahui perkembangan digital yang terkini. Kemudahan yang disediakan dapat membantu pembelajaran pelajar sepanjang di universiti. Bukan itu sahaja, malah pelajar juga dapat melihat segala kemudahan sukan yang disediakan UPSI di Pusat Sukan Arena seperti gimnasium, stadium dan kolam renang.
Program ini diharapkan menjadi inspirasi kepada para pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai impian dan mendapat penempatan di salah sebuah universiti yang terbaik. Malah, jalinan hubungan bersama pihak sekolah yang lain juga amat dialu-alukan untuk aktiviti lawatan sambil belajar seperti ini.