TANJONG MALIM, 29 Jun 2024: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) komited merealisasikan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menerusi Majlis Peluncuran Community Recycling Project: Plastic Waste to Fuel, Karnival Alam Sekitar peringkat UPSI dan Hari Terbuka Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) yang dilaksanakan bersempena dengan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia dan Hari Bumi Sedunia 2024 bertempat di Tapak Food Court (Berhampiran Pintu Utama), Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
Majlis ini dianjurkan oleh LCERC-FSK, FSK, Jabatan Pengurusan Pembangunan & Harta Benda (JPPHB), Jawatankuasa SDG UPSI, UCTC, IKTBN Sepang dan V-FSK4U.
Sebanyak 10 agensi luar terlibat dengan pameran yang diadakan sepanjang majlis ini berlangsung termasuk Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara, Sepang, Jabatan Perangkaan Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim, Geospatial, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan, Institut Tanah dan Ukur Negara, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, KOR SISPA APM dan Pusat Kesihatan Daerah Muallim.
Selain itu, sebanyak lima pempamer dalaman UPSI dan 11 gerai peniaga mengambil peluang untuk membuat pelbagai jenis jualan. Majlis ini juga dimeriahkan dengan Jualan Rahmah yang menarik perhatian komuniti sekitar kerana harga jualannya yang sangat berpatutan.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), merangkap Ahli Lembaga Penasihat, FSK, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Haji Othman.
Satu sesi ‘Enviromental Talk’ telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah, Bahagian Perancangan Wilayah, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), TPr. Dr Mohamad Sabri Ahmad, yang memberi pendedahan ilmu dan kesedaran berkenaan ‘Transformasi Malaysia ke Arah Bandar Rendah Karbon’.
Menurut Dekan FSK, Prof Madya Ts Dr Nor Kalsum, penganjuran program ini mendedahkan komuniti sekitar kepada produk inovasi yang mesra alam dan boleh digunapakai sebagai tenaga baharu. Sebanyak 16 kg botol dan bekas plastik telah dikitar semula dan 11.5 kg beg plastik telah dikumpul dan ditukarkan kepada bahan api sempena Karnival Alam Sekitar Peringkat UPSI. Program ini dilaksanakan bersama komuniti Kampung Simpang Empat dan Kampung Ketoyong, Tanjong Malim.