Oleh: Zaleha Arshad (FTV)

Tanjong Malim, 20 Jun 2024: Perasmian Galeri Fesyen Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah dimeriahkan lagi dengan Pertunjukan Fesyen serta Pameran Pakaian Tradisional Malaysia yang bertemakan Edutourism: ‘From Heritage to Elegant Chic’. Majlis berlangsung di bengkel fesyen FTV berjaya mengetengahkan bakat pelajar-pelajar yang mengambil subjek Pembuatan Pakaian Wanita Lanjutan dan Pembuatan Pakaian Perempuan semester 4, 5 dan 6, Jabatan Hospitaliti dan Sains Konsumer.

Perasmian Galeri ini disempurnakan oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff. Turut hadir ialah Dekan Fakulti Teknikal dan Vokasional, Dr. Mohd Azlan Muhammad Hussain, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Madya Dr. Zaliza Hanapi, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dr. Suriani Mohamed, Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Pengkomersilan) Dr. Zahidah Ab Latif, Ketua Jabatan Hospitaliti dan Sains Konsumer, Dr. Anisah Abdul Wafi, Ketua Jabatan Teknologi Kejuruteraan, Dr. Tang Jing Rui, Timbalan Pendaftar, Ahmad Tarmizi Al Shaari, pensyarah-pensyarah, kakitangan dan para pelajar dari FTV.

Pertunjukan fesyen dan pameran ini memfokuskan kepada rekaan pakaian yang anggun, smart look serta rekaan pakaian tradisional dari pelbagai negeri yang terdapat di Malaysia. Penggunaan fabrik yang pelbagai seperti fabrik renda batu, renda bunga, labuci, satin, baldu, sifon, organdie, songket dan pelbagai jenis fabrik hiasan yang lain. Pelajar juga membuat nilai tambah pada sesetengah rekaan dengan menghasilkan sendiri jahitan hiasan yang dijahit pada rekaan pakaian mereka.

Rekaan pakaian adalah diinspirasikan dan diinovasikan dengan menampilkan pakaian gabungan berkonsepkan pakaian pejabat, pakaian malam, moden serta penghasilan pakaian tradisional Malaysia yang telah dibimbing oleh pensyarah kursus dari Jabatan Hospitaliti dan Sains Konsumer FTV iaitu, Dr. Nor Asimah Zakaria (Pembuatan Pakaian Perempuan) dan Zaleha Arshad (Pembuatan Pakaian Wanita Lanjutan). Penghasilan pakaian turut dibantu juga oleh pegawai pereka iaitu Norizan Mohd Nor dan Senijulita Johari.

Pertunjukan fesyen dan pameran pakaian tradisional ini juga telah memilih beberapa pemenang melalui beberapa kategori iaitu kategori Luminous Outstanding Masterpiece Award, Gold, Silver & Bronze Luminous Excellent Award, Gold, Silver & Bronze Best Presenter Award, Gold, Silver & Bronze Best Excellent Showcase Presentation Award, Kategori Pakaian Tradisional Negeri Terbaik, dan Kategori Pakaian Kebaya Kontemporari Negeri Terbaik.  Dua orang juri di jemput bagi memilih dan menilai setiap pemenang iaitu Ketua Jabatan Teknologi Fesyen & Pakaian, Rofizah Ibrahim dan Ketua Bahagian Diploma Rekaan Fesyen, Institut Kemahiran Belia Negara Peretak (IKBN), Kuala Kubu Bharu Selangor, Ts. Norfarizan Jawahir.

Pertunjukan fesyen dan pameran kali ini mengetengahkan seramai 49 pereka bagi rekaan pakaian malam dan seramai 70 pereka bagi pakaian tradisional di Malaysia dengan harapan agar penghargaan terhadap busana rekaan baharu dan busana ikonik ini boleh memberi inspirasi kepada generasi sekarang dan akan datang untuk memahami bagaimana nilai-nilai pakaian tradisi ini boleh dikekalkan dan dipakai sehingga ke hari ini.