Oleh: Mohd Arif Sedqi
28 Jun 2024
Tanjong Malim: Kelab Al-Mursyidin (AMC) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program ‘Healing Sampai Puncak’ yang bertempat di Bukit Changkat Asa, Tanjung Malim.
Tujuan utama program ini adalah untuk mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga UPSI serta melahirkan individu yang seimbang dari segi rohani, jasmani, emosi, dan intelek.
Program Healing Sampai Puncak merupakan aktiviti pendakian yang melibatkan mahasiswa dan mahasiswi serta kakitangan Pusat Islam UPSI.
Program ini turut dihadiri oleh Pengarah Pusat Islam UPSI, Ustaz Haji Muhammad Tarmizi Bin Abd Rahman, serta Penasihat Kelab Al-Mursyidin, Ustaz Mohd Ali Abdul Malek.
Terdapat beberapa slot menarik sepanjang program ini berlangsung, antaranya ialah slot “Tadabbur Alam” yang disampaikan oleh Ustaz Haji Muhammad Tarmizi Bin Abd Rahman.
Slot “Tadabbur Alam” memberikan pengisian rohani kepada para peserta, di mana mereka diajak untuk merenung dan menghayati kebesaran ciptaan Allah.
Pengisian ini selaras dengan firman Allah dalam Al-Quran “Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi serta pertukaran malam kepada siang, nescaya terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi golongan ulul albab.” (Surah Al Imran: 190).
Program ini diharapkan dapat memberikan kesedaran dan penghayatan kepada peserta tentang kebesaran setiap ciptaan-Nya.
Melalui aktiviti seperti ini, semoga warga UPSI dapat terus memperkukuhkan nilai ukhuwah dan meningkatkan kesedaran spiritual mereka, seterusnya menjadi individu yang seimbang dan berjaya dalam kehidupan.